Mas Idayu ralat, cerai kecewakan penyokong perkahwinannya

Mas Idayu ralat, cerai kecewakan penyokong perkahwinannya

am@hmetro.com.my

Puchong : “Saya solat istikarah setiap malam untuk minta petunjuk. Malah, setiap kali sujud, saya sentiasa berdoa mohon petunjuk dari Allah SWT sejak bulan Rejab lagi (tahun lalu),” kata penyanyi, Mas Idayu, 53, ketika ditanya mengenai keputusannya untuk berpisah dengan bekas suaminya iaitu Muhammad Sufian Che Isa.

Mas Idayu atau nama sebenarnya, Mas Idayu Mesnun berkata, keputusan itu dibuat bukan mengikut perasaan sebaliknya sudah difikirkan semasak-masaknya.

“Saya juga membuat keputusan itu selepas mendapat nasihat daripada pihak sepatutnya.

“Dua tahun, saya bertahan kerana saya sayangkan perkahwinan ini. Saya juga rujuk kepada kadi yang nikahkan saya, ustaz serta mutawif sebelum buat keputusan ini dan saya layak untuk berbuat sebegitu dan bukannya suka-suka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Air Titik Ke Batu kolaborasi bersama penyanyi Farez Adnan yang berlangsung di Rusa Cafe, di sini hari ini.

Mengenai perceraian lagi, kata Mas Idayu, dia sendiri yang memfailkan perceraian tanpa pengetahuan bekas suaminya itu.

Bagaimanapun, dia kini sudah menemui kebahagiaan sendiri selepas perceraiannya itu.

Katanya, perasaan ralat menguasai diri kerana dia berasa sudah mengecewakan peminat yang menyokong perkahwinannya itu.

“Sebenarnya, saya tak sedih dengan perceraian ini. Cuma saya ralat dan kesian kepada mereka yang menaja perkahwinan kami dahulu.

“Apapun, saya gembira sekarang dan saya harap pihak sana pun begitu juga,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Idayu berharap orang ramai tidak memanipulasi cerita perceraiannya kerana mereka tidak berada dalam situasi berkenaan.

“Bagi mereka yang marahkan saya, sebenarnya saya yang menuntut cerai. Kalau isteri menuntut cerai tanpa sebab tak bau syurga tapi saya sangat layak untuk bercerai.

“Jangan manipulasi cerita kalau anda tidak tahu cerita sebenar ketika saya menuntut perceraian,” katanya,

Terdahulu, Sufian yang juga Penerbit Eksekutif TV3 mengesahkan sudah bercerai dengan Mas Idayu pada 4 Mac lalu.

Mas Idayu dan Sufian berkahwin pada September 2022.

Sebelum itu, Sufian pernah berkahwin dengan personaliti TV, Intan Suraya, namun, bercerai dan mempunyai seorang anak.

Mas Idayu juga pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top