syafil.syazwan@hmetro.com.my
Setia Alam : “Selepas insiden (lafaz talak di ‘live’) itu, saya menjalani pemeriksaan pertama beberapa hari lalu dan waktu itulah saya tahu jantinanya, seorang bayi perempuan,” kata pempengaruh, Siti Jamumall, 26, yang meraih perhatian selepas diceraikan di sesi ‘live’ di TikTok pada 15 Mei lalu.
Siti atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin turut sebak apabila berkongsi mengenai jantina bayi dalam kandungannya, hasil perkahwinan kedua bersama suami, Khairul Aiman Abdul Kudus.
Katanya, dia dan Aiman mengimpikan cahaya mata perempuan, namun tidak pernah menjangka rumah tangga mereka bakal diduga dengan kontroversi.
“Rasa sebak kerana kami memang mengharapkan anak perempuan. Walaupun dalam keadaan yang kecewa, saya masih berkomunikasi dengan Aiman.
“Pada waktu itu, saya tidak menyampaikan berita mengenai jantina anak itu sendiri (pergi ke klinik dengan kenderaan berasingan), tetapi disampaikan oleh kawan saya.
“Kawan saya memaklumkan bahawa Aiman enangis apabila diberitahu bahawa anak yang saya kandung adalah perempuan,” katanya.
Siti ketika ditemui di majlis bacaan Yasin dan doa selamat yang berlangsung di Masjid Setia Alam, di sini berkata, walaupun berdepan dugaan berat, kandungannya sangat kuat.
“Saya mempunyai dua anak lelaki (daripada perkahwinan pertama). Kemudian, Allah bakal mengurniakan saya seorang puteri. Saya pula satu-satunya anak perempuan daripada enam orang adik-beradik.
“Apa yang boleh saya katakan, anak dalam kandungan saya ini sangat kuat. Sejak awal kehamilan lagi, dia melalui pelbagai dugaan.
“Perkahwinan saya dengan Aiman pun belum genap setahun. Ketika kehamilan pertama saya mengalami keguguran.
“Ini adalah kehamilan kedua saya, dan Alhamdulillah, kandungan kali ini sangat kuat,” katanya.
Siti bagaimanapun bersyukur kerana dikelilingi penyokong yang sentiasa memberikan semangat kepadanya.
“Sebagai ibu, saya sendiri sudah melalui pelbagai cabaran dan rasa sedih yang mendalam.
“Saya juga bersyukur kerana ada pengikut-pengikut yang sangat baik hati. Ramai yang mendoakan saya dan menunjukkan rasa prihatin.
“Walaupun isu ini sangat panas dan pelbagai andaian dibuat, masih ada dalam kalangan mereka yang mengambil berat.
“Mereka menyeru orang ramai supaya tidak mengganggu kesihatan mental saya. Alhamdulillah, masih ramai yang baik dan mendoakan yang terbaik buat saya dan anak-anak,” katanya.
Kini, selepas seminggu melalui insiden pahit itu, Siti menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak, keluarga dan dirinya.
Pada 15 Mei lalu, Siti dan Aiman bertengkar ketika wanita itu melakukan siaran langsung di media sosialnya sehinggalah Aiman melafazkan talak dua sebanyak beberapa kali dan mengejutkan puluhan ribu penonton.
Hari ini, Aiman hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk memfailkan tuntutan perceraian dan mahkamah menetapkan tarikh tarikh 21 Julai inu utuk sebutan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd