am@hmetro.com.my
Melaka: Seorang lelaki tidak sempat menikmati hasil samun lima utas rantai emas dari sebuah kedai di Jalan Bunga Raya, di sini, apabila diberkas polis tengah hari tadi selepas ditangkap orang awam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 31 tahun itu terlebih dahulu ditangkap oleh orang awam ketika melarikan diri selepas menyamun dan mencederakan isteri pemilik kedai emas berkenaan sebelum diserahkan kepada polis kira-kira 12.30 tengah hari.
“Sebaik menyamun, suspek yang bersenjatakan tukul itu melarikan diri sebelum dikejar pekerja kafe dan kedai roti berdekatan ke arah jambatan di Sungai Melaka kira-kira 200 meter dari kedai emas hingga terjatuh dan ditangkap.
“Sepasukan anggota polis ke lokasi untuk siasatan dan menangkap suspek. Ketika ditahan, suspek cedera di kaki, tangan dan kepala,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Christopher berkata, polis merampas lima utas rantai emas, sehelai baju T, baju sejuk, seluar panjang dan tukul besi, manakala suspek dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan sebelum ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.
“Isteri pemilik kedai berusia 70 tahun turut cedera akibat diserang suspek dan dirawat di zon merah hospital sama, namun keadaannya dilaporkan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd