am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Laungan reformasi mengiringi kehadiran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli di pusat mengundi bagi Pemilihan PKR Peringkat Pusat di sini, hari ini.
Rafizi yang hadir kira-kira jam 4 petang meluangkan masa selama lima minit untuk membuang undi, sebelum beramah mesra bersama penyokongnya.
Ketika ditanya kenapa ‘muncul’ lewat, Rafizi berkata, mengundi hanya mengambil masa singkat sahaja.
“Saya makan dulu tadi. Lagipun, bukan ada apa pun nak buat sekarang. Undi hanya lima minit. Jadi, siapkan apa yang patut dulu, jadi saya bertolak lepas solat Jumaat tadi. ‘So, just nice time’ ni (masa yang tepat),” katanya.
Kehadiran Ahli Parlimen Pandan itu hanya disedari pengamal media yang sedang mengikuti perbahasan Kongres AMK 2025 selepas terdengar laungan ‘Reformasi’ yang agak kuat.
Pada masa sama, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi itu menegaskan beliau akan hadir ke Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR 2025 malam ini.
Beliau turut mengesahkan kehadirannya pada Kongres Nasional PKR pada esok.
“Saya akan hadir malam ni. Esok pun. Awat tak hadir pula?” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd