Kita Punya Cerita memperingati P Ramlee dilanjutkan hingga 9 Jun

Kita Punya Cerita memperingati P Ramlee dilanjutkan hingga 9 Jun

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Buat julung kalinya, pelukis, kartunis dan penerbit buku dengan sokongan The Linc bergabung menganjurkan pameran khas, Kita Punya Cerita bagi memperingati Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Pameran anjuran Tam Maba Studio dengan kerjasama Aqila & Seni ini berlangsung di Event Space, The Linc KL bermula 2 Mei lalu disambung hingga 9 Jun depan.

Penganjur pameran yang juga pemilik Aqila & Seni, Samsudin Harun berkata, lanjutan tempoh dibuat selepas menerima sambutan positif daripada pengunjung yang turut menggembirakan pengurusan, The Linc KL.

“Langkah menambah hari pameran ini bakal membuka ruang kepada orang ramai melihat hasil karya seni daripada pelukis tempatan.

“Selepas melihat sambutan baik terhadap pameran ini, kami ada berbincang dengan pihak The Linc KL untuk sambung sehingga 9 Jun. Alhamdulillah mereka bersetuju dan beri kebenaran.

“Malah, saya boleh katakan sambutan terhadap pameran ini sejak hari pertama diadakan sangat baik,” katanya pada majlis pelancaran bagi lanjutan Pameran Kita Punya Cerita di The Linc KL di sini, hari ini.

Samsudin atau mesra disapa Dean, berkata, penganjuran pameran untuk Seniman Agung itu adalah yang pertama kali dianjurkan pihaknya.

“Pameran Kita Punya Cerita juga membawa pelbagai karya seperti kartun, lukisan dan buku daripada seramai 42 orang pelukis serta kartunis. Lukisan ini turut dijual kepada pengunjung.

“Selain itu, pameran ini bertujuan menyemarakkan lagi industri seni untuk tatapan semua generasi yang meminati karya seni.

“Kami juga menyerahkan kepada Tam Maba Studio untuk berurusan berkenaan sumbangan yang disampaikan menerusi program ini,” katanya.

Majlis pelancaran Pameran Kita Punya Cerita turut dihadiri anak kepada bintang tersohor, Allahyarham AR Tompel, Azman Aman Ramlie dan cucu Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma, Rozaidie Armali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top