New York: Seorang hakim di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu, menggantung tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menyekat Universiti Harvard daripada mendaftarkan dan mengambil penuntut luar negara, lapor AFP.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem pada Khamis lalu menyekat universiti itu daripada mendaftarkan warga asing yang menyebabkan masa depan ribuan penuntut di situ terjejas.
Bagaimanapun, Universiti Harvard memfailkan saman dan hakim daerah AS, Allison Burroughs kemudiannya mengarahkan supaya arahan pentadbiran itu, digantung.
Berdasarkan rekod mahkamah, perbicaraan berhubung injunksi itu akan diadakan pada 29 Mei ini.
Menurut AFP, Trump berang terhadap Universiti Harvard yang melahirkan 162 pemenang Hadiah Nobel kerana menolak pengawasan Washington terhadap kemasukan dan pengambilan pekerja, di tengah dakwaannya bahawa pusat pengajian itu adalah lubuk anti-Semitisme dan ideologi liberal
Pentadbirannya mengancam untuk menyemak pembiayaan kerajaan bernilai AS$9 bilion (kira-kira RM38 bilion) kepada Universiti Harvard.
Ia kemudian membekukan peruntukan pertama, iaitu geran AS$2.2 bilion (kira-kira 9.3 bilion) dan AS$60 (kira-kira RM259 juta) juta dalam bentuk kontrak rasmi.
Ia juga menyasarkan penyelidik Sekolah Perubatan Harvard supaya dihantar pulang.
Sementara Bloomberg melaporkan tindakan pentadbiran Trump menghalang Universiti Harvard daripada mendaftarkan pelajar antarabangsa bukan sahaja memberi lebih banyak tekanan kewangan kepada sekolah itu, tetapi juga mengancam pemimpin politik global.
Menurut rekod, universiti itu melahirkan lapan pemimpin AS, yang terbaharu bekas Presiden Barack Obama.
Di luar AS, ia melahirkan ramai graduan yang kemudian menjadi ketua negara. Antaranya, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; Presiden Taiwan Lai Ching-te; Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis; Presiden Ecuador Daniel Noboa; Presiden Moldova Maia Sandu dan Presiden Botswana Duma Boko.
© New Straits Times Press (M) Bhd




