Asean-GCC kukuh kerjasama, Filipina seru tindakan tegas isu Myanmar dan Palestin

Asean-GCC kukuh kerjasama, Filipina seru tindakan tegas isu Myanmar dan Palestin

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Asean akan terus memperkukuh hubungan strategik bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menerusi pelbagai bentuk kerjasama rentas bidang yang akan diperincikan dalam pertemuan pemimpin sempena Sidang Kemuncak Asean-GCC Kedua, esok.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique A Manalo berkata, pihaknya yakin terhadap peranan penting Asean dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan politik dengan rakan luar serantau seperti GCC.

“Keesokannya, kita akan mengukuhkan lagi kerjasama yang semakin berkembang antara Asean dan GCC,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Asean-GCC di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan isu Myanmar, Manalo menegaskan, Sidang Kemuncak Asean akan memberi ruang untuk membincangkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dengan lebih efektif sebagai langkah penting dalam menamatkan krisis berpanjangan di negara itu.

“Kita akan berbincang dan melihat bagaimana kita boleh melaksanakan 5PC dengan lebih berkesan,” katanya merujuk kepada syarat yang sudah dipersetujui Junta Myanmar dan Asean sejak 2021.

Mengenai isu Palestin, Manalo menyatakan, Asean secara keseluruhan menyokong aspek kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa khususnya berkaitan konflik di Gaza.

“Pendiriannya sangat jelas, Asean menyokong sepenuhnya aspek kemanusiaan dan keperluan untuk menghormati undang-undang antarabangsa di Gaza dan Palestin,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean tahun ini dijangka lebih bermakna dengan penganjuran Sidang Kemuncak Asean-GCC kedua serta Sidang Kemuncak Asean-GCC-China pertama, mencerminkan pembabitan Asean yang semakin kukuh dengan rakan antarabangsa utama.

GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top