Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Asean menyuarakan ketetapan yang jelas dan bersatu, menggesa supaya keganasan terhadap penduduk Palestin di Gaza dihentikan segera, dengan menekankan bahawa blok serantau itu tidak menutup mata terhadap krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, kata Presiden Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA), Tan Sri Dr Johari Abdul.
Menjawab kritikan sesetengah pihak berhubung sikap Asean yang dikatakan berdiam diri terhadap konflik Gaza, terutamanya jika dibandingkan dengan pendirian kukuhnya dalam isu di Myanmar dan Ukraine, Johari yang juga Speaker Dewan Rakyat berkata perkara itu tidak diabaikan, dan baru-baru ini ia dibincangkan dalam mesyuarat AIPA.
“Jika anda lihat kenyataan kami sebelum ini, yang disepakati secara konsensus dalam kalangan semua pemimpin, kami menyeru agar keganasan di Gaza dihentikan. Ini termasuk gencatan senjata, bantuan kemanusiaan tanpa halangan, dan penamatan tindakan pembunuhan beramai-ramai.
“Ia adalah kenyataan yang kukuh. Tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya pada sidang media selepas Perjumpaan Pemimpin Asean-AIPA Ke-14, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-46 di sini, hari ini.
Johari berkata semasa Asean sedang melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan krisis Myanmar, beliau juga berharap akan ada lebih banyak perbincangan dalam kalangan ahli parlimen dan pemimpin kerajaan di Asean untuk turut mendorong usaha kolektif berhubung isu Gaza.
“Seluruh dunia tahu apa yang berlaku di Gaza dan kami berharap ada lebih banyak pertemuan dalaman untuk membincangkan isu ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai usaha kerajaan tentera Myanmar mengadakan pilihan raya umum menjelang akhir tahun, Johari berkata pendekatan Asean memberi tumpuan kepada pembabitan dan dialog dengan semua pihak yang terbabit.
“Ada banyak puak dan sebab bagi konflik yang berterusan. Setiap kumpulan mempunyai matlamat, keinginan dan keperluan masing-masing. Untuk memahami situasi itu, Asean memutuskan untuk membabitkan diri dengan semua pihak, dan kami telah menerima beberapa maklum balas positif, dan kami harap persefahaman bersama dapat dicapai tanpa campur tangan dari luar,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada sidang kemuncak Asean yang diadakan semasa Amerika Syarikat sedang rancak membuat ketetapan berhubung tarifnya itu boleh mengakibatkan sidang kemuncak ini menjadi paling kritikal buat ahlinya, terutamanya bagi negara berorientasikan eksport, Johari berkata pemimpin Asean sedang meneroka cara untuk menangani situasi itu.
Beliau berkata, walaupun setiap negara mungkin berurusan dengan Amerika Syarikat secara individu, terdapat juga persefahaman bersama dalam kalangan anggota Asean mengenai cara mengharungi cabaran ini.
“Pemimpin-pemimpin Asean merumuskan pendekatan bagaimana untuk mengendalikan apa sahaja yang diperkatakan oleh Presiden Amerika, namun begitu saya rasa Asean juga membenarkan setiap negara untuk berurusan secara langsung. Saya rasa selagi mana terdapat perimeter persefahaman antara pemimpin Asean,” katanya.
Perjumpaan Asean-AIPA ialah platform khusus untuk dialog antara Ketua Negara/Kerajaan Asean dan Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Parlimen yang mewakili AIPA, bagi menyelaras keutamaan serantau melalui tadbir urus pelbagai pihak yang inklusif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




