Paris: Ikon Portugal, Cristiano Ronaldo memberi bayangan bahawa dia mungkin meninggalkan Al-Nassr selepas menyatakan bahawa “satu bab sudah berakhir” beberapa jam selepas Liga Pro Saudi tamat.
Ronaldo, 40, menyertai Al-Nassr pada 2022 dari Manchester United dan kontraknya di Arab Saudi akan tamat musim panas ini.
Jendela perpindahan khas dibuka dari 1 hingga 10 Jun bagi membolehkan 32 kelab yang terbabit dalam Piala Dunia Kelab menandatangani pemain.
“Bab ini sudah berakhir,” kata Ronaldo secara berkias di media sosial bersama sekeping gambar dia memakai jersi Al-Nassr.
“Ceritanya? Masih ditulis.
“Bersyukur kepada semua,” tambah bekas penyerang Real Madrid dan Juventus itu.
Al-Nassr terlepas peluang untuk mara ke Liga Juara-Juara Asia Elite selepas tewas kepada Kawasaki Frontale dari Jepun pada separuh akhir April lalu dan menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Pro Saudi.
Ronaldo menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak liga dengan 24 gol.
Tahun lalu, pemenang Ballon d’Or lima kali itu menyatakan bahawa dia mungkin menamatkan karier bersama Al-Nassr.
© New Straits Times Press (M) Bhd




