Cahaya dakwah di tengah dugaan

Cahaya dakwah di tengah dugaan

saufi@mediaprima.com.my

Wanita yang memiliki perwatakan menarik dan wajah penuh kelembutan ini mempunyai cita-cita besar untuk terus mengembangkan pusat pengajiannya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pernah diduga dengan ‘sihir’ yang dihantar kepadanya oleh individu tertentu, wanita ini tidak mudah menyerah, malah beranggapan bahawa ia ujian dan Allah sebaik-baik pelindung.

Hos selebriti dan pendakwah ini, Ustazah Nur Nadhrah Mohamed Yunos, 36, yakin bahawa cita-citanya sejak kecil itu berada di landasan tepat.

Beliau berkata, dunia media bukan sekadar ruang populariti, tetapi medan dakwah dan wadah mendidik ummah dengan ilmu al-Quran yang sahih serta berautoriti.

Di sebalik kesibukan, beliau tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

“Anak dan keluarga ialah kekuatan saya untuk terus berdiri hari ini walaupun terpaksa menempuh pelbagai ujian serta dugaan,” katanya.

Katanya, dunia pendidikan al-Quran bukan hanya perjuangan peribadi, tetapi jihad sepanjang hayat untuk dunia dan akhirat.

“Cabaran utama apabila menceburi dunia media ialah pengurusan masa dengan kekangan tanggungjawab sedia ada.

“Saya bukan sekadar hos, malah saya juga ibu, pendidik dan pengetua kepada pusat tahfiz saya sendiri.

“Jadi, penyampaian kandungan dalam setiap episod perlu teliti dan berhati-hati kerana ia membabitkan kalam Allah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kandungan ilmu yang disampaikan kepada masyarakat bukan sesuatu yang boleh direka atau ditokok tambah sewenang-wenangnya, apatah lagi ia berkait langsung dengan kemurnian al-Quran.

Menceritakan lanjut, Ustazah Nur Nadhrah yang sinonim dengan beberapa rancangan di sebuah syarikat penyiaran berkata, impian mengangkat martabat al-Quran bermula sejak kecil.

“Ketika saya berusia 13 tahun, saya sudah menulis surat untuk memujuk bapa supaya membenarkan saya menceburi bidang al-Quran.

“Itu janji saya. Saya mahu jadi pengajar al-Quran suatu hari nanti supaya dapat memakaikan mahkota buat ibu bapa saya di akhirat,” katanya.

Katanya, impian itu diteruskan dengan lebih kukuh melalui pusat pengajiannya sendiri iaitu Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz yang beroperasi genap satu dekad pada tahun ini.

Mengimbas kembali kenangan, Ustazah Nur Nadhrah berkata, pengalaman paling manis adalah mula-mula diperkenalkan menerusi program sebuah stesen televisyen kerana platform itu banyak memberinya pengalaman berharga.

Bagaimanapun, beliau turut melalui pengalaman pahit apabila mendakwa ada pihak yang menghantar ‘unsur syirik’ terhadap dirinya ketika itu.

“Namun, sebagai hamba, saya reda dan terus kuatkan semangat kerana saya tahu, Allah adalah sebaik-baik pelindung.

“Apa yang dilalui ini juga adalah pengalaman untuk saya terus kuat melangkah ke depan,” katanya.

Menceritakan mengenai pusat tahfiz yang diasaskan olehnya, katanya, pusat tahfiz ini dikendalikan khas untuk pelajar perempuan berusia lapan hingga 25 tahun dan kini mencatatkan pencapaian membanggakan apabila lima pelajar memperoleh syahadah (hafaz 30 juzuk) dan 30 pelajar sudah khatam hafazan al-Quran.

“Alhamdulillah, pelajar kami juga berjaya dalam pertandingan hafazan peringkat negeri dan kebangsaan, termasuk menjadi johan dan naib johan.

“Cabaran terbesar mengendalikan pusat tahfiz ini adalah mengekalkan kelangsungan operasi.

“Meneruskan serta mengekalkan pusat tahfiz ini sangat mencabar, tetapi Insya-Allah, saya yakin Allah akan bantu dan beri jalan keluar,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau menyimpan impian memiliki sebidang tanah dan kompleks pendidikan al-Quran miliknya sendiri.

“Tujuannya supaya pelajar dapat belajar dalam suasana lebih kondusif, positif dan berdaya saing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top