am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Enam lelaki berusia antara 19 hingga 34 tahun ditahan polis selepas disyaki mencuri transformer pencawang elektrik di daerah ini, kelmarin.
Kesemua lelaki itu ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor ketika sedang melakukan rondaan jam 2.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, terdahulu pihaknya mengesan lori Mitsubishi Fuso, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan motosikal Honda RS-X dalam keadaan mencurigakan di Jalan Hopefull, Bestari Jaya.
“Anggota kemudian mengekori lori sehingga ke Jalan Timur Tambahan berhampiran Universiti Selangor (UNISEL).
“Dengan bantuan anggota MPV lain, kami turut berjaya menahan Toyota Hilux dan motosikal.
“Bagaimanapun, semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu kenderaan pacuan empat roda memecut dan melarikan diri selepas menurunkan semua penumpang,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Azaharudin berkata, hasil pemeriksaan ke atas tong roro lori yang ditutup dengan kanvas menjumpai transformer pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk peralatan disyaki digunakan di bahagian pemandu.
“Hasil semakan mendapati modus operandi suspek memotong transformer di tepi jalan yang kawasannya terpencil lalu menariknya masuk ke dalam lori menggunakan tali siling.
“Malah, tiga daripada enam suspek mempunyai rekod lampau jenayah. Semua suspek direman lima hari bermula semalam hingga 30 Mei dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Azaharudin berkata, polis sedang memburu pemandu Toyota Hilux berusia 29 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd