'Saya reda namun harap kematian anak dapat keadilan sewajarnya'

'Saya reda namun harap kematian anak dapat keadilan sewajarnya'

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya selalu ingatkan diri anak ini adalah pemberian Allah SWT dan dia berhak mengambilnya semula,” Nur Farihah Meor Mazli.

Nur Farihah, 29, adalah ibu kepada Muammar Adli berusia tujuh bulan yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Danau Kota, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia, kelmarin.

Difahamkan, bayi itu dihantar ke taska berkenaan sejak Mac lalu.

Nur Farihah mengakui dia reda dengan pemergian anak tersayang namun kesedihan itu masih dirasai sehingga kini dan masih dalam fasa untuk menerima kenyataan perit itu.

“Saya masih teringat memori bersama (Muammar). Cuma saya sentiasa ingatkan diri bahawa anak ini adalah pemberian Allah dan dia berhak ambil semula. Bayi kecil masih tidak berdosa. Itu yang menjadi pujukan diri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sebagai ibu dia berharap kematian anak tersayangnya itu mendapat keadilan sewajarnya.

Katanya, dia turut berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara telus berhubung kejadian berkenaan.

Terdahulu, Muammar ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Danau Kota, di sini, kelmarin sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.08 pagi.

Media hari ini melaporkan, bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia dalam kejadian di sebuah taska di Taman Danau Kota, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku antara 9 pagi hingga 11 pagi.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa di Balai Polis Setapak pada 1.26 tengah hari, hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top