am@hmetro.com.my
Seremban: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan membabitkan kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) dan kenderaan pengangkutan awam (KPA) yang didapati memandu lorong paling kanan sehingga mengundang kemalangan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya mendapati kadar kesalahan membabitkan kenderaan terbabit yang memandu secara berterusan di lorong paling kanan ditahap yang membimbangkan.
“Berdasarkan rekod, sepanjang tahun lalu, sebanyak 800 kes kesalahan membabitkan KPB (534 kes) dan KPA (264 kes) yang telah diambil tindakan.
“Manakala sehingga April tahun ini sebanyak 220 kes iaitu KPB sebanyak 111 dan KPA sebanyak 96 kes yang kita telah ambil tindakan.
“Berdasarkan kes ini, ia amat membimbangkan, justeru mulai hari ini, JPJ akan tingkatkan lagi penguatkuasaan di seluruh negara dengan memfokuskan kepada kenderaan perdagangan yang memandu secara berterusan di lorong paling kanan,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Operasi Penguatkuasaan Teknikal Kenderaan Perdagangan di Kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, apabila kenderaan terbabit berada di lorong paling kanan menunjukkan kenderaan itu dipandu laju melebihi daripada had laju ditetapkan iaitu 80/90 kilometer (km) perjam.
“Ada bukti menunjukkan mereka memandu melebihi 100km perjam, jadi kita nampak memang membimbangkan.
“Ini antara kesan kemalangan sering berlaku membabitkan kenderaan berat kerana dipandu laju di lorong paling kanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, larangan terhadap kenderaan barang atau kenderaan perkhidmatan awam secara berterusan di lorong paling kanan boleh dikompaun maksimum RM300.
“Jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam builan dan bagi sabitan kedua didenda RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan,” katanya.
Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ akan melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha bermula 4 hingga 10 Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd