
Gandingan yang terkenal dengan julukan Fei-Din itu hanya memerlukan 32 minit untuk mencatat kemenangan 21-13, 21-11.
BEREGU profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei memulakan era mereka sebagai gandingan nombor satu dunia dengan kemenangan apabila mudah melangkah ke pusingan kedua Terbuka Singpura 2025 pada Rabu.
Dalam perlawanan di Stadium Tertutup Singapura, Izzuddin-Sze Fei tiada masalah menundukkan lawan bukan pilihan dari Taiwan, Lee Fang Chi-Lee Fang Jen.
Gandingan yang terkenal dengan julukan Fei-Din itu hanya memerlukan 32 minit untuk mencatat kemenangan 21-13, 21-11.
Menanti Izzuddin-Sze Fei bagi penentuan ke suku akhir hari ini ialah satu lagi beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King.
Sementara itu, satu lagi beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menyingkirkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark.
Juara Asia dan pemenang Terbuka Malaysia 2025 itu mencatatkan kemenangan straight set 21-19, 24-22 dalam tempoh 36 minit.
Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao menerima laluan percuma ke pusingan kedua selepas pemain nombor 25 dunia itu meraih kemenangan percuma selepas pencabarnya dari China, Lei Lan Xi menarik diri.
Kemenangan itu sekali gus memberi suntikan semangat tepat pada masanya dalam usaha Jun Hao mengulangi pencapaian mara ke suku akhir kejohanan Super 750 itu tahun lalu.
Terbuka Singapura menyimpan kenangan manis buat Jun Hao yang mencipta kejutan apabila menewaskan juara dua kali, Anthony Ginting dalam laluan ke suku akhir sebelum tunduk kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen.
Kemenangan percuma itu membuka laluan kepada pertembungan menarik di pusingan kedua menentang pemain nombor lima dunia dari Indonesia, Jonatan Christie yang sebelum ini menewaskan wakil Ireland, Nhat Nguyen 23-21, 21-16 dalam aksi pembukaan.