Penduduk Gaza selongkar sampah demi isi perut

Penduduk Gaza selongkar sampah demi isi perut

GENTING GAZA – Seorang wanita Palestin bersama anaknya tidak kisah dihurung lalat ketika mereka mengais timbunan sampah untuk mencari sisa makanan di tapak runtuhan sebuah bangunan di Bandar Gaza.

Dia menemui longgokan nasi, sisa roti dan kotak yang masih terdapat sapuan keju putih yang dapat mengisi perut mereka.

Ibu kepada lima anak, Islam Abu Taeima mengangkut ‘makanan’ tersebut untuk dibawa pulang ke sekolah yang menjadi tempat berlindung bersama ratusan keluarga lain.

“Kami akan mati jika tidak makan,” katanya dalam nada sedih.

Wanita itu antara ribuan penduduk Palestin yang kini berada di ambang kebuluran akibat sekatan selama hampir tiga bulan dikenakan Israel ke atas penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Penduduk Gaza turut menjadikan sisa sampah yang boleh dijual sebagai sumber pendapatan mereka.

Penduduk Gaza turut menjadikan sisa sampah yang boleh dijual sebagai sumber pendapatan mereka.

Kemasukan sejumlah kecil bantuan pada minggu lalu tidak membawa sebarang makna untuk meredakan malapetaka kemanusiaan yang kian meruncing di wilayah berkenaan.

Sebelum ini, penduduk Gaza jarang dilihat menyelongkar sisa sampah meskipun berdepan kemiskinan.

Tetapi, ia sudah menjadi kebiasaan dan ada yang keluar pada waktu malam kerana berasa malu terpaksa menyelongkar sampah.

Kanak-kanak juga sanggup membongkar longgokan sampah untuk mencari barang yang masih boleh digunakan atau dijual bagi memperoleh wang.

Menurut Abu Taeima, mereka tiada pilihan lain dan terpaksa berkeliaran di sekitar Bandar Gaza untuk mencari sisa makanan.

“Inilah cara kami untuk teruskan hidup. Saya berasa sedih kerana terpaksa mengisi perut dengan apa yang ada dari tong sampah walaupun saya berpelajaran,” kata wanita itu yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris daripada Al-Quds Open University di Gaza dan pernah bekerja dengan agensi bantuan antarabangsa.

Pada minggu lalu, Israel menghebahkan tentang ratusan trak bantuan yang dibenarkan memasuki ke Gaza.

Hakikatnya, sebahagian besar daripadanya gagal sampai kepada penduduk Gaza akibat pelbagai insiden termasuk sekatan ke atas staf bantuan yang dikenakan Zionis terutamanya di utara enklaf tersebut.

Abu Taeima bersama anaknya menyelongkar longgokan sampah untuk mencari sisa makanan.

Abu Taeima bersama anaknya menyelongkar longgokan sampah untuk mencari sisa makanan.

Tiada pilihan lain

Abu Taeima bersama keluarganya meninggalkan rumah mereka di kem pelarian Shati di bahagian utara Bandar Gaza pada November 2023.

Wanita itu bersama salah seorang anaknya turut cedera akibat bedilan kereta kebal Zionis.

Mereka pernah menuju ke Rafah dan berlindung di ‘bandar khemah’ di kawasan selatan itu selama lima bulan sebelum berpindah ke bandar Deir al-Balah, kirakira setahun yang lalu apabila Israel pertama kali menyerang bandar tersebut.

Ketika gencatan senjata selama dua bulan yang bermula pada Januari lalu, mereka kembali semula ke Shati, tetapi tuan rumah tidak membenarkan keluarga itu kembali menetap di unit pangsapuri sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.

Beberapa sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bandar Gaza juga enggan menerima keluarganya atas alasan kemudahan itu dikhaskan untuk komuniti yang berpindah dari utara.

Sisa roti yang dijumpai dan dibawa pulang untuk keluarganya.

Sisa roti yang dijumpai dan dibawa pulang untuk keluarganya.

“Salah sebuah sekolah akhirnya menerima kami selepas saya mengugut untuk membakar hidup-hidup seluruh keluarga saya,” ujarnya.

Abu Taeima berkata, dia juga tidak berkemampuan untuk membeli makanan di pasar kerana harga yang melambung tinggi.

“Saya cuba untuk mendapatkan makanan di dapur kecemasan yang menjadi tempat bergantung seluruh penduduk Gaza. Tetapi, semuanya habis licin. Semua orang bergelut untuk teruskan hidup dan tiada lagi yang bermurah hati untuk berkongsi makanan.

“Oleh itu, pilihan yang ada hanyalah kumpul sisa makanan,” menurutnya lagi.

Abu Taeima juga tidak bimbang diserang penyakit akibat tindakan menyelongkar timbunan sampah yang jelas membawa kuman seperti virus, bakteria dan parasit.

“Kebuluran adalah penyakit terbesar yang menjadi ketakutan utama kami,” jelasnya. – Agensi

Scroll to Top