Amorim akui penyudah Manchester United tumpul di Bukit Jalil

Amorim akui penyudah Manchester United tumpul di Bukit Jalil

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mengakui ketumpulan bahagian penyudah penyumbang utama kepada kekalahan 0-1 kepada ASEAN All-Stars dalam perlawanan Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu sekali gus menjadi satu tamparan berguna buat anak buahnya.

Selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang suram dengan kemenangan ke atas Aston Villa di Stadium Old Trafford pada Ahad, kegagalan lama United dalam penyudah kembali menghantui dalam aksi pertama jelajah pasca musim ke Asia.

Dalam keadaan cuaca melebihi 30 darjah Celsius dengan kelembapan tinggi, United gagal menyempurnakan deretan peluang meskipun Amorim melakukan pertukaran pemain secara berterusan sehingga menyaksikan 25 pemain digunakan sepanjang perlawanan.

Jaringan tunggal perlawanan hadir menerusi pemain sayap Myanmar, Maung Maung Lwin pada separuh masa kedua, seterusnya memastikan kemenangan pilihan Asia Tenggara di hadapan 72,550 penonton.

Kekalahan ini juga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong United yang menyaksikan kelab kesayangan mereka kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak tahun 2009.

United menamatkan musim ini di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris dengan 42 mata iaitu kempen terburuk mereka sejak musim penyingkiran 1973-74.

Malah, mereka turut tewas 0-1 dalam perlawanan akhir Liga Europa kepada Tottenham Hotspur di Bilbao dan terlepas peluang ke Liga Juara-Juara musim depan.

Amorim juga mengakui buntu dengan ketumpulan pasukannya: “Kami tiada kekuatan dalaman untuk tidak ‘tersekat’ dalam setiap latihan mahupun perlawanan dan itulah yang berlaku di sini.”

Ditanya mengapa penyokong-penyokong masih perlu membayar untuk menyaksikan United selepas persembahan hambar Red Devils, Amorim berkongsi kisah zaman mudanya sebagai penyokong Benfica dalam saingan liga Portugal.

“Jika anda mampu hadir ke stadium, yang mana itu paling penting maka sokonglah kelab anda.

“Saya juga mempunyai kelab kesayangan ketika kecil dan apa jua keadaannya, saya tetap hadir menyokong pasukan kesayangan saya.

“Zaman 1990-an cabaran amat sukar untuk penyokong Benfica, tetapi saya tidak pernah berhenti ke stadium menyokong Benfica.

“(Dalam konteks Manchester United) Penyokong-penyokong masih percaya kepada Manchester United tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya.

INFO

Manchester United

Pengendali: Ruben Amorim

Pemain:

Andre Onana

Harry Maguire

Rasmus Højlund

Patrick Chinazaekpere Dorgu

Carlos Casemiro

Diogo Dalot

Manuel Ugarte

Ayden Heaven

Kobbie Mainoo

Jack Moor

Reece Munrohouse

Pemain simpanan:

Altay Bayindir

Bruno Fernandes

Diallo Amad

Alejandro Garnacho

Thomas Heaton

Jonathan Evans

Harry Amass

Sekou Kone

Toby Collyer

Tyler Fredricson

Chido Obi

Tyler Fletcher

Shea Lacey

Jaydan Kamason

Godwill Kukonki

Daniel Armer

Jim Thwaites

ASEAN All-Stars

Pengendali: Kim Sang-sik

Pemain:

Patiwat Khammai

Sergio Aguero

Mo Kan

Sandro Miguel Sison Reyes

Hai Long Nguyen

Amani Santos Aguinaldo

Declan Lambert

Kealey Otieno Adamson

Yaya Dukuly

Coulibaly Abdel Kader

Harrison Andrew Delbridge

Pemain simpanan:

Duy Manh Do

Van Vi Nguyen

Joao Pedro Da Silva Freitas

Benjamin James Davis

Mg Mg Lwin

Hoang Duc Nguyen

Kakang Rudianto

Bounphachan Bounkong

Adrian Segecic

Worachit Kanitsribumphen

Muhammad Azam Azmi Murad Muhammad Haziq Nadzli

Muhammad Adib Abdul Raop

Irfan Fandi Ahmad

Malik Risaldi

Scroll to Top