KEBANYAKAN daripada kita sedia maklum bahawa memakai wangi-wangian diharamkan ke atas individu yang sedang berihram.
Tidak kiralah sama ada minyak wangi atau sabun yang mempunyai haruman kuat.
Namun, bagaimana pula dengan minyak angin? Bolehkah ia digunakan ketika berihram memandangkan ia juga mengeluarkan bau yang kuat?
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, larangan itu berpunca daripada haruman yang terdapat pada sesuatu bahan meskipun ia bukan digunakan secara khusus sebagai pewangi.
Contohnya termasuklah pewarna pakaian yang wangi atau ubat-ubatan yang mengandungi bau harum.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika menjawab petanyaan mengenai pakaian ihram:
āDan janganlah kamu memakai pakaian yang terkena padanya wars dan zaāfaran (sejenis wangian).ā (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

MEMAKAI wangi-wangian diharamkan ke atas individu yang sedang berihram termasuklah sabun mandi yang kuat berbau harum, selain minyak wangi. -Foto: CANVA
āBerdasarkan nas itu, larangan berwangian di dalam ihram itu meliputi apa sahaja perkara yang digunakan kerana tujuan utamanya adalah untuk mendapatkan bau-bauan harum yang ada pada perkara tersebut,ā katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Khas Haji dan Korban Siri ke-101: Hukum Penggunaan Minyak Angin dalam Keadaan Ihram yang disiarkan di laman web pejabat mufti itu pada Khamis.
Berbalik kepada persoalan penggunaan minyak angin semasa ihram, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, meskipun ia mempunyai bau yang kuat, tetapi tidak dianggap sebagai wangi mengikut adat kebiasaan.
Tambahan pula, penggunaannya adalah untuk tujuan perubatan seperti melegakan pening kepala atau sakit perut, bukan untuk mewangikan diri.
āOleh itu, minyak angin tidak dikira sebagai sejenis wangi-wangian pada adatnya kerana baunya bukanlah wangi, sebaliknya ia merupakan bau bahan-bahan yang digunakan di dalamnya.

MINYAK angin tidak dikira sebagai sejenis wangi-wangian pada adatnya kerana baunya bukanlah wangi, sebaliknya ia merupakan bau bahan-bahan yang digunakan di dalamnya. -Foto: CANVA
āJusteru, penggunaan minyak angin oleh seseorang yang sedang berihram tidak dikira sebagai salah satu daripada perkara-perkara yang dilarang dalam ihram. Ini kerana larangan di dalam ihram hanya melibatkan sesuatu yang berbau wangi sahaja,ā terangnya.
Walaupun penggunaan minyak angin dibenarkan, pejabat mufti tersebut mengingatkan agar ia tidak mengandungi bau-bauan harum.
āKepada mereka yang berihram, pastikan minyak angin yang ingin digunakan itu bukanlah bauan yang harum seperti minyak angin yang mengandungi pati bunga dan seumpamanya,ā pesan pejabat mufti berkenaan.