MSN peruntuk RM334,020 buat skuad ragbi wanita

MSN peruntuk RM334,020 buat skuad ragbi wanita

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan peruntukan berjumlah RM334,020 kepada pasukan ragbi wanita sebagai persiapan ke Sukan Sea 2025 di Thailand pada Disember ini.

MSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan berkenaan terdiri daripada pakej latihan pusat di Kelab Cobra Petaling Jaya secara sepenuh masa, elaun atlet dan jurulatih, pembelian peralatan serta penyertaan ke kejohanan luar negara.

Sehubungan itu, MSN menegaskan bahawa dakwaan peruntukan yang disalurkan kepada pasukan itu tidak mencukupi adalah tidak wajar.

“Jumlah peruntukan yang disediakan adalah sejajar dengan penilaian prestasi semasa sukan tersebut. Pada masa ini pihak MSN sedang menguruskan program penyediaan atlet ke arah Sukan Sea Thailand yang melibatkan sebanyak 40 jenis sukan yang berlatih secara sepenuh masa dan berfasa.

“Oleh itu sudah semestinya pihak MSN akan memberi tumpuan yang lebih kepada sukan-sukan yang disandarkan untuk memenangi pingat terutama pingat emas pada temasya Sukan Sea 2025 nanti,” menurut kenyataan itu.

MSN turut memaklumkan persatuan sukan kebangsaan juga menggalas tanggungjawab untuk mencari dana tambahan sekiranya terdapat kos lain diperlukan.

Sebelum ini pengurus pasukan ragbi wanita negara Tan Thiam Jin dilaporkan sebagai berkata persiapan pasukannya berada pada tahap membimbangkan susulan dana diluluskan MSN hanya meliputi latihan secara berfasa selama 14 hari serta satu perlawanan sepanjang tempoh sembilan bulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top