Budak lapan tahun temukan bangkai kapal 200 tahun

Budak lapan tahun temukan bangkai kapal 200 tahun

Ottawa: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di Ontario, menjejak penemuan luar biasa apabila berjaya mengesan bangkai kapal berusia hampir 200 tahun menggunakan alat pengesan logam yang dihadiahkan oleh keluarganya sempena hari lahirnya.

Portal NDTV melaporkan, Lucas Atchison, secara tidak sengaja menemukan bangkai kapal itu ketika percutian keluarga di Taman Wilayah Point Farms berhampiran Goderich.

Ketika sedang bermain di pantai dengan alat pengesan logam, Atchison menemui paku besi kecil yang masih melekat pada sekeping kayu dan apabila diperhatikan turut mempunyai beberapa paku tambahan lagi pada kayu itu.

“Sejurus kami menghidupkan pengesan logam itu, ding! Kami jumpa paku.

“Kemudian ayah saya cakap, ‘Lucas, ini bangkai kapal’. Saya langsung tak sangka akan jumpa bangkai kapal apabila bangun pagi itu!,” kata Atchison.

Selepas menemui struktur kayu dan paku yang dipercayai sebahagian daripada kapal karam, keluarganya segera memaklumkan kepada kakitangan taman dan kemudiannya menghubungi Jawatankuasa Warisan Marin Ontario (OMHC).

Dengan kelulusan pihak berkaitan, kerja penggalian dimulakan awal bulan ini dan pasukan OMHC berjaya menemui lebih banyak tinggalan daripada bangkai kapal yang tersembunyi selama ini.

“Kami temui rangka berganda, yang menunjukkan kapal ini dibina lebih kukuh dan kami percaya ia adalah sebuah schooner,” kata ahli arkeologi marin, Scarlett Janusas. Schooner ialah kapal layar kayu yang biasanya mempunyai dua tiang layar.

Walaupun belum cukup bukti untuk mengenal pasti kapal itu dengan pasti, saintis percaya ia mungkin kapal St. Anthony yang karam pada Oktober 1856.

“Ia digambarkan karam kira-kira empat batu di utara Goderich, dan lokasi ini sangat berpadanan dengan deskripsi tersebut,” jelas ahli sejarah marin, Patrick Folkes.

Kerja penggalian kini diteruskan dan sukarelawan terlibat akan menyiapkan lakaran berskala bangkai kapal itu dari pandangan atas dan sisi untuk tujuan dokumentasi.

Penemuan oleh kanak-kanak itu membuka lembaran baru dalam kajian warisan laut Kanada, sekali gus membuktikan bahawa semangat ingin tahu dan sedikit peralatan mampu menghasilkan penemuan bersejarah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top