Keputusan Tengku Zafrul bukan luar biasa, lumrah politik – Mohamad Hasan

Keputusan Tengku Zafrul bukan luar biasa, lumrah politik – Mohamad Hasan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan Umno bukan sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, ini sebahagian dinamika politik yang makin terbuka dan pelbagai.

“Semua orang berhak memilih jalan mereka dan kami pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti dan memperjuangkan nasib rakyat.

“Kepada ahli dan penyokong Umno, jangan goyah. Jangan biar tindakan satu dua orang mengganggu hala tuju kita. Orang (pemimpin) datang dan pergi, itu lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan,” katanya dalam kenyataan di Facebook (FB) beliau hari ini.

Beliau berkata, Umno bukan parti dibina sehari dua dan bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh, sebaliknya Umno adalah amanah yang lebih besar daripada itu.

“Kita ada kerja yang jauh lebih penting iaitu menyatukan, memperbaiki, dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada kita. Saya doakan yang terbaik buat Tengku Zafrul, dan kita doakan yang lebih baik untuk Umno,” katanya.

Mohamad yang menghormati keputusan itu menyifatkan Tengku Zafrul sudah memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan.

“Kami ucapkan terima kasih atas segala sumbangan beliau. Umno tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu. Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat, bukan pada nama atau kedudukan,” katanya.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri malam tadi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Umno dan menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top