TLDM ada prosedur dan acuan tersendiri

TLDM ada prosedur dan acuan tersendiri

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Insiden pelanggaran bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika raptai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) 15 Mei lalu, membuktikan kesiapsiagaan angkatan berkenaan dalam menyelesaikan isu luar jangka dengan pantas.

Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts Shamsuddin Ludin, berkata ia berikutan TLDM mempunyai prosedur dan acuan tersendiri bagi menggerakkan tindakan bagi menyelesaikan sebarang isu atau masalah berbangkit.

“Semua maklum bidang ketenteraan penuh risiko baik ketika operasi, latihan mahu pun apabila anggota dalam perjalanan ke lokasi. Ia adalah risiko yang perlu diambil anggota tentera.

“Namun insiden LIMA’25 membuktikan TLDM ada perancangan, apabila sesuatu berlaku, maka kita sudah ada ‘template’ untuk bertindak.

“TLDM tidak ambil masa yang panjang untuk tangani kerana dalam beberapa hari sahaja, bot terbabit sudah ditarik ke limbungan, malah dua anggota yang cedera dan dirawat di hospital sebelum mereka meneruskan demonstrasi di LIMA’25 dua hari selepas insiden itu,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM Siri 228/24, di Padang Kawat Kapal Diraja (KD) Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Pada 15 Mei lalu, TLDM dilaporkan mengesahkan tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan parah membabitkan lima pegawai dan anggotanya dalam insiden pelanggaran bot ketika raptai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) petang hari berkenaan.

TLDM memaklumkan, dalam kejadian itu bot milik TLDM hilang kawalan sebelum melanggar sebuah bot pelancongan awam berhampiran pantai di Pulau Langkawi.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan parah, namun kru terbabit dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

TLDM juga dilaporkan akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top