Bentong: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan satu lagi pencapaian penting apabila Kerajaan Negeri Pahang secara rasmi menyertai FELDA sebagai ‘Persons Acting in Concert’ (PAC) dalam usaha mengambil alih FGV Holdings Berhad (FGV).
Penyertaan ini adalah langkah strategik yang akan memperkukuh pelaksanaan ‘Voluntary Take Over Offer’ (VTO) oleh FELDA terhadap FGV.
Majlis menandatangani penyertaan PAC berlangsung di Bentong, disaksikan oleh kepimpinan utama FELDA dan Kerajaan Negeri Pahang.
Pengerusi FELDA, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek menzahirkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk turut serta dalam agenda pemerkasaan FELDA.
“Penyertaan Kerajaan Negeri Pahang sebagai PAC bukan sahaja memperkukuh kedudukan FELDA dalam FGV, malah mencerminkan kepercayaan terhadap peranan FELDA dalam mengangkat kesejahteraan peneroka dan menjamin masa depan generasi baru,” katanya dalam ucapan majlis itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail pula menyatakan bahawa kerajaan negeri menyokong sepenuhnya usaha FELDA sebagai sebahagian daripada agenda nasional yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar.
“Kerajaan Negeri Pahang melihat kerjasama ini sebagai peluang strategik untuk bersama-sama memelihara kepentingan peneroka, memperkukuh ekosistem perladangan serta menyokong pembangunan sosio ekonomi negeri,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Pengerusi FELDA, Datuk Fazilah Salih; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Datuk Hayar Razali Qasim; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri, Datuk Abiza Abu Azam; ahli-ahli Lembaga Pengarah FELDA serta wakil-wakil dari agensi berkaitan.
Kerjasama strategik ini diyakini akan memberi kesan positif jangka panjang kepada keseluruhan ekosistem FELDA, terutamanya dalam memperkukuh rantaian nilai perladangan, menstabilkan kedudukan kewangan dan operasi.
Selain menjamin kelangsungan manfaat kepada peneroka dan generasi pewaris serta memartabatkan prinsip tadbir urus yang telus dan berintegriti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




