anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Khamis lalu genap 600 hari kesengsaraan dialami penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang ‘dibakar’ menerusi misi genosid terancang dan berterusan Israel.
Sejak serangan Israel bermula 7 Oktober 2023, kemusnahan luar biasa serta kezaliman terhadap penduduk Palestin belum menampakkan tanda akan reda.
Sepanjang tempoh itu, tentera Israel sudah membunuh lebih 54,249 rakyat Palestin, majoriti korban adalah dikalangan wanita dan kanak-kanak tidak berdosa. Selain itu, 123,492 lagi penduduk Gaza cacat dan cedera parah akibat kekejaman Israel.
Lebih menyedihkan apabila dianggarkan sekitar 11,000 lagi mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan rumah yang musnah akibat serangan roket, bom dan artileri tentera Israel tanpa henti.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza turut mengesahkan serangan tentera Israel mencatatkan angka kematian tertinggi membabitkan bayi, petugas kesihatan, wartawan dan kakitangan sukarelawan.
Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) , Zulkifli Wahijan berkata, kesedihan dan duka dirasai sukar digambarkan apatah lagi penduduk Palestin di Gaza terpaksa mengharungi tempoh serangan begitu lama.
“Selama 600 hari, seramai 2.4 juta penduduk Palestin di Gaza mengharungi derita dan diseksa. Jika tidak mati akibat dibom, mereka mungkin akan mati akibat wabak penyakit selain krisis kebuluran melampau.
“Tiada apa yang tinggal dan tersisa, Israel memusnahkan seluruh kawasan kediaman penduduk di utara, tengah dan selatan Gaza melalui serangan darat dan udara. Premis perniagaan, pasar, sekolah dan masjid turut hancur menjadi puing batu.
“Malah mereka (Israel) menghancurkan hospital dan kemudahan kesihatan termasuk hospital Al-Shifa dan Nasser yang sebelum ini menjadi nadi sistem kesihatan Gaza,” katanya.
Menurutnya, kemusnahan besar-besaran ini menjadikan sebahagian besar Semenanjung Gaza sepanjang 40 kilometer musnah sama sekali ibarat ‘padang jarak padang terkukur’.
“Hampir kesemua 2.4 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal dan menjadi pelarian tanpa arah. Ramai terpaksa hidup di bawah khemah dalam keadaan tanpa bekalan makanan, air bersih mahupun ubat-ubatan.
“Mereka terpaksa berpindah randah apabila tentera Israel memberi amaran awal mahu menyerang kawasan tertentu,” katanya yang masih meneruskan misi bantuan kemanusiaan menerusi wakilnya, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar di Gaza.
Menurutnya, kegagalan negara kuasa besar termasuk negara berpengaruh di Asia Barat berusaha menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin amat mendukacitakan.
“Seolah-olah pemimpin negara-negara ini hilang pertimbangan dan nilai kemanusiaan. Sepatutnya umat Islam ini segera dibantu melalui pelbagai pendekatan dan tekanan. Anehnya mereka ini lebih mengutamakan keuntungan ekonomi negara tanpa rasa berdosa,” katanya.
Menurutnya, pihaknya masih meneruskan usaha menyalurkan makanan siap dimasak melalui dapur MCM di Gaza walaupun berdepan kekangan bagi memperolehi bekalan bahan mentah diperlukan.
“Amat tidak masuk akal apabila tentera Israel masih dahagakan darah dan melakukan pembunuh setiap hari. Mereka melanyak mayat penduduk Palestin yang dibunuh menggunakan jentera berat. Ini termasuk menggunakan kereta kebal dan jengkaut untuk memusnahkan saki – baki binaan bangunan dan kediaman di Gaza,” katanya.
Sementara itu, seramai 70 penduduk Palestin di Gaza maut susulan serangan terbaru Israel semalam.
Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dalam siri serangan Israel ke atas bangunan kediaman di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




