SIMONE Inzaghi mungkin tidak akan mengendalikan Inter Milan pada kejohanan Piala Dunia Kelab yang bakal berlangsung pada 18 Jun ini, susulan minatnya terhadap tawaran lumayan yang dikemukakan oleh kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal, selepas kekalahan dalam aksi final Liga Juara-Juara pada Ahad.
Nerazzurri berjaya melangkah ke final Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, satu pencapaian mengagumkan jika dibandingkan dengan sumber kewangan yang terhad berbanding kelab-kelab elit Eropah lain.
Namun, kekalahan besar 5-0 kepada Paris Saint-Germain di Munich bagaikan menandakan penutup kepada era empat tahun Inzaghi di bangku simpanan Inter, apatah lagi musim ini merupakan kali pertama beliau menamatkan kempen tanpa sebarang kejuaraan.
Laporan sebelum ini telah menyebut bahawa Inzaghi cenderung menerima tawaran gaji €30 juta setahun yang dikemukakan oleh Al-Hilal daripada Liga Pro Saudi, dan kenyataan beliau dalam sidang media pasca perlawanan turut menambah spekulasi.
Beliau ditanya sama ada Inter akan bangkit semula menerusi Piala Dunia Kelab dan sama ada beliau akan kekal sebagai jurulatih Inter dalam kejohanan tersebut yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu. Saya hadir ke sini sebagai tanda hormat dan kesopanan selepas kekalahan yang amat menyakitkan ini.
“Pasukan akan bangkit lebih kuat selepas kekalahan. Mungkin ia kedengaran seperti klise, namun itu adalah hakikat bahawa kami pernah melakukannya sebelum ini dan seterusnya menjuarai Scudetto.
“Kekecewaan memang dirasai malam ini, tetapi kami harus terus melangkah dengan kepala yang tegak, menyedari kami tewas kepada pasukan yang memang layak menang,” kata Inzaghi.
Beliau sekali lagi ditekan berkenaan masa depannya, sesuatu yang tidak dapat dielakkan susulan desas-desus bahawa beliau telah pun bersetuju dengan terma yang ditawarkan oleh Al-Hilal.
“Kekecewaan terlalu besar pada waktu ini untuk berbicara soal masa depan. Kami telah melalui 58 perlawanan sejak 13 Julai lalu, dan membincangkan hal masa depan sekarang tidak dirasakan sesuai,” katanya lagi.