mdroji@bh.com.my
Kuching: Keseronokan seorang remaja perempuan mandi di sungai bersama abangnya serta tiga rakan mereka ketika bercuti sempena perayaan Hari Gawai Dayak bertukar tragedi apabila dia dikhuatiri lemas, hari ini.
Mangsa, Puteri Nazatul Akmal Zulkarnain, 13, dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Katibas, Songdi Rumah Panjang Robert, Nanga Bajor dalam Bahagian Kapit kira-kira jam 5 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya mengarahkan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song sejurus menerima panggilan pada jam 5.28 petang.
Beliau berkata, setibanya di lokasi yang terletak 23 kilometer dari balai pada jam 5.52 petang, anggota bomba menjalankan pencarian awal dengan menyusuri tebing sungai.
“Pencarian dijalankan dalam jarak sejauh 100 meter ke arah hulu dan hilir sungai, namun tiada petunjuk ditemui.
“Selepas perbincangan dijalankan bersama pihak polis dan keluarga mangsa, operasi pencarian ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan disambung semula pada pagi esok,” katanya.
Sungai Katibas adalah anak sungai Batang Rajang yang menjadi nadi perhubungan penduduk rumah panjang ke pekan Song.
© New Straits Times Press (M) Bhd




