khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPP UPM) melahirkan rasa kesal dengan penyebaran maklumat bersifat tuduhan dan fitnah selepas tularnya sebuah video mendakwa masjid di universiti itu dijadikan karnival ‘Mobile Legends’, selain mempunyai dua jenazah yang sedia untuk disolatkan semasa aktiviti itu sedang berlangsung.
Yang Dipertuanya, Umar Akhtar Ab Malek berkata, sebarang dakwaan atau video yang tersebar itu adalah tidak benar dan amat mengelirukan, sekali gus mencetuskan salah faham terhadap pengurusan masjid UPM serta pihak Pusat Islam.
Katanya, ia bukan sahaja menjejaskan reputasi masjid tetapi turut memberi imej negatif kepada universiti secara keseluruhannya.
Menurutnya, pihaknya mengambil maklum berlaku salah faham baru-baru ini melibatkan pelaksanaan sebuah program pelajar dijalankan dengan kerjasama Pusat Islam UPM, yang pada asalnya dijadualkan bertempat di Bilik Smart Classroom, Masjid UPM.
“Berdasarkan maklumat rasmi, pihak penganjur diberi arahan awal penggunaan ruang solat adalah tidak dibenarkan dan hanya bilik Smart Classroom boleh digunakan.
“Namun, disebabkan kekangan ruang semasa aktiviti berlangsung, lokasi dipindahkan ke kawasan luar bilik itu.
“Penting untuk saya nyatakan tiada sebarang jenazah berada di kawasan itu sewaktu aktiviti berlangsung.
“Jenazah yang dimaksudkan hanya tiba setelah aktiviti dihentikan serta-merta bagi menghormati situasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai video tular yang mendakwa Masjid UPM dijadikan tempat karnival Mobile Legends.
Tulisan di video tular itu turut mendakwa terdapat dua jenazah yang sedia untuk disolatkan di dalam masjid semasa pelajar sedang bermain permainan video Mobile Legends berkenaan.
Mengulas lanjut, Umar dalam masa sama tidak menafikan pihak penganjur tetap bertanggungjawab disebabkan pelanggaran garis panduan penggunaan ruang yang ditetapkan.
Beliau juga menyeru semua penganjur program di kampus, khususnya yang melibatkan lokasi sensitif seperti masjid supaya sentiasa mematuhi prosedur serta garis panduan ditetapkan pihak berautoriti.
“Saya juga ingin mengingatkan seluruh warga UPM serta masyarakat luar agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang kandungan ke media sosial.
“Pastikan setiap perkongsian adalah berdasarkan fakta yang sahih dan bukan bersifat tuduhan atau spekulasi yang boleh mengundang fitnah serta mencemarkan nama baik institusi.
“Siasatan serta pengesahan maklumat seharusnya dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat,” katanya.
Katanya, sebagai wakil pelajar, beliau akan terus cakna dan bertanggungjawab dalam memantau serta menyokong inisiatif pelajar sama ada di dalam atau di luar kampus.
“MPP UPM komited untuk memastikan keharmonian, profesionalisme dan nama baik UPM sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd