syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kutipan melebihi RM34.2 juta hanya dalam tempoh 11 hari tayangan, sekali gus memecahkan rekod kutipan filem pertamanya.
Pencapaian membanggakan itu turut menobatkan EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa paling singkat, sekali gus menjadi bukti nyata bahawa karya tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan naskhah antarabangsa.
Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof, menyifatkan pencapaian ini sebagai simbol kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kualiti karya animasi tempatan.
“Kami sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan kepada Ejen Ali The Movie 2.
“Kutipan RM34.2 juta ini bukan sekadar satu angka, ia adalah simbol keyakinan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi dan usaha tenaga kerja tempatan. Terima kasih kerana terus mempercayai misi Ejen Ali,” katanya.
Lebih manis, kejayaan EATM2 turut disusuli dengan kejayaan mengatasi kutipan beberapa filem blockbuster Hollywood yang ditayangkan pada Mei lalu, termasuk Thunderbolts, Mission: Impossible dan Lilo & Stitch.
Pengarahnya, Usamah Zaid Yasin, berkata kejayaan ini adalah hasil sokongan padu penonton yang terus memberikan semangat dan keyakinan kepada pasukan produksi.
“Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali.
“Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan sangat menggalakkan untuk kami terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali.
“Buat ejen-ejen (penonton) yang sudah berulang kali menonton, terima kasih kerana terus menyokong EATM2 di pawagam,” katanya.
EATM2 adalah kesinambungan daripada kejayaan filem Ejen Ali The Movie pertama yang ditayangkan pada 2019 dan ketika itu mencatat kutipan sekitar RM30 juta, sekali gus meletakkan ia dalam kelas tersendiri dalam dunia animasi tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd