Siti Nurhaliza, MK K-Clique, Iman Troye Raikan Pelajar Cemerlang… PTTI Catat 2 Pengiktirafan Malaysia Book of Records

Siti Nurhaliza, MK K-Clique, Iman Troye Raikan Pelajar Cemerlang… PTTI Catat 2 Pengiktirafan Malaysia Book of Records

Selebriti dan tokoh terkenal tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Datuk Wira Dr. Azizan Osman serta barisan selebriti seperti MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek dan Zaki Yamani meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dalam Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025.

Berlangsung meriah Ahad lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) disaksikan lebih 2,000 tetamu termasuk pelajar, ibu bapa, pendidik, Pusat Tuisyen PTTI juga terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju pendidikan berkualiti apabila mencipta sejarah dengan mencatat dua pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records hasil pencapaian cemerlang pelajarnya dalam SPM 2024.

PTTI diiktiraf sebagai institusi yang melahirkan “Most Straight A’s SPM Students in a Tuition” dan “Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition” susulan kejayaan 401 pelajar mendapat Straight A’s, dengan jumlah keseluruhan 18,432 Gred A yang diperoleh oleh pelajar mereka.

Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian luar biasa, PTTI dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa turut menyampaikan insentif tunai RM500 kepada setiap pelajar Straight A’s, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM200,500.

Majlis turut meraikan kejayaan 356 orang pelajar kategori “Nearly All A’s” dan 1,685 pelajar yang memperoleh 6A dan ke atas.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman, menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil kerjasama erat antara tenaga pengajar, pelajar dan ibu bapa yang percaya kepada pendidikan sistematik.

“Kejayaan ini bukan sekadar milik PTTI semata-mata, tetapi juga milik semua pelajar dan ibu bapa yang tidak pernah berputus asa. Ini membuktikan bahawa pendidikan yang berkualiti dan sistematik mampu mengubah masa depan seseorang pelajar,” katanya.

Melangkah ke hadapan, PTTI menyasarkan untuk melahirkan 1,000 pelajar Straight A’s bagi SPM 2025 dengan pelbagai pendekatan pembelajaran termasuk kelas dalam talian, konsultasi akademik, dan pemantauan prestasi secara konsisten.

Sebagai komitmen berterusan, PTTI kini menawarkan konsultasi akademik secara percuma kepada ibu bapa dan pelajar dari Tingkatan 1 hingga 5, terutamanya calon SPM tahun ini yang ingin meningkatkan prestasi akademik mereka.

Scroll to Top