800 kambing habis terjual menjelang Adiladha

800 kambing habis terjual menjelang Adiladha

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang pesara guru mampu menjual 800 ekor kambing korban dan akikah menjelang Aidiladha yang bakal disambut Sabtu ini.

Anuar Abd Latiff, 60, dari Kampung Macang Lada di sini berkata, stok kambing berkenaan diimport dari Thailand dan Myanmar bagi memenuhi permintaan pada musim perayaan.

Menurutnya, selain kandang di Kampung Macang Lada, dua lagi kandang di Kubang Bujuk, Kuala Nerus dan Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, dijadikan tempat untuk menyimpan semua kambing itu.

Katanya, kambing berkenaan dijual dengan harga bermula RM750 hingga RM950 seekor, namun kebiasaannya tidak mencukupi menjelang sambutan Aidiladha.

“Biasanya hari pertama Aidiladha, saya bersama 30 hingga 40 pekerja akan melakukan sembelihan menjangkau 80 hingga 100 ekor kambing yang ditempah pelanggan.

“Kerja sembelihan, melapah dan mencincang akan bermula selepas solat sunat Aidiladha hingga berakhir kira-kira 7 malam,” katanya yang juga pesara guru.

Menurutnya, tahun ini dia menyediakan 800 kambing sahaja, berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan jumlah mencecah hingga 1,300 ekor kambing bagi tujuan ibadah korban dan akikah.

Katanya, melihat kepada harga lembu korban yang kini sedikit murah iaitu RM3,500 hingga RM4,500, dia mengambil pendekatan untuk tidak mengimport kambing dalam jumlah melebihi 1,000 ekor.

Anuar berkata, menjelang beberapa hari lagi sambutan Aidiladha stok kambingnya kini sudah kurang daripada 100 ekor untuk dijual dan permintaannya saban tahun dilihat stabil.

“Biasanya kambing yang saya jual ini ditempah oleh institusi antaranya masjid, pusat tahfiz, madrasah masjid surau dan sebagainya.

“Mereka membuat tempahan dalam jumlah yang banyak hingga ada institusi yang menempah hingga mencecah 180 ekor namun tidak kurang dibeli individu secara runcit.

“Alhamdulillah, apabila tibanya Aidiladha permintaan kambing akan melonjak dan setiap hari, waktu saya akan habiskan dengan mengurus kambing seperti memberi makan dan menjaga kesihatan kambing-kambing ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top