BINTANG tengah Portugal, Ruben Neves menggalakkan rakan sepasukannya, Bruno Fernandes, untuk meninggalkan saingan Liga Perdana Inggeris bagi menyahut cabaran baharu bersama kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal.
Kapten Manchester United berusia 30 tahun itu sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran menarik untuk menyertai Liga Pro Saudi selepas musim yang mengecewakan bersama The Red Devils.
Susulan petunjuk mengenai kemungkinan perpindahan dari Old Trafford, wakil Fernandes, Miguel Pinho, telah mengadakan perbincangan ‘positif’ dengan pegawai Al-Hilal di Riyadh baru-baru ini.
Manchester United dijangka akan mengalami kerugian besar sekiranya mereka melepaskan pemain berkaliber seperti Fernandes, biarpun secara kelazimannya penjualan pemain berstatus aset penting berkenaan adalah sesuatu yang tidak terfikirkan oleh kelab.
Bagaimanapun, desakan kelab untuk merombak skuad di bawah pengurusan baharu, digabungkan dengan bajet yang ketat dan kegagalan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah, mungkin akan memaksa mereka menerima tawaran Al-Hilal yang dilaporkan bernilai 100 juta pound untuk Fernandes.
Neves, yang meninggalkan Wolves untuk ke Arab Saudi dua tahun lalu, telah memberikan ulasan yang positif mengenai perpindahan tersebut dan akan mengesyorkannya kepada mana-mana pemain Portugal.
“Saya mengesyorkan kepada semua pemain dalam pasukan kebangsaan, sudah tentu. Mujur, Portugal telah melahirkan banyak bakat dan terus berbuat demikian. Kami adalah negara yang bertuah dalam hal ini.
“Kami juga sangat gigih bekerja. Negara yang sangat kecil tetapi telah melahirkan pemain-pemain yang cemerlang.
“Baru-baru ini, kita menyaksikan empat pemain kita (Gonçalo Ramos, Joao Neves, Nuno Mendes dan Vitinha) menjulang trofi Liga Juara-Juara.
“Ini adalah petanda yang sangat baik untuk Portugal. Saya ingin sekali mempunyai mana-mana pemain dari pasukan kebangsaan dalam pasukan saya,” ujar Neves.
Ketika gergasi Saudi, Al-Hilal, mempergiat usaha, mereka mahu tonggak utama United, Fernandes, dijangka membuat keputusan mengenai kemungkinan perpindahan dalam tempoh seminggu lagi.
Terikat dengan kontrak bersama Manchester United sehingga 2027, Fernandes kekal sebagai pemain paling penting Red Devils ketika kelab mengharungi prestasi tidak menentu.
Dengan kelab menamatkan musim Liga Perdana Inggeris di tangga ke-15 yang mengecewakan di bawah kendalian Ruben Amorim, yang mengambil alih pada November daripada Erik ten Hag, kecemerlangan Fernandes kekal menjadi sinar harapan.
Sebagai rekod, Fernandes mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya berikutan kekalahan di final Liga Europa kepada Tottenham.
Beliau berkata, “Jika kelab berfikir sudah tiba masanya untuk berpisah kerana mereka ingin mendapatkan wang tunai atau apa sahaja, begitulah keadaannya.
“Bola sepak kadang-kadang seperti ini. Saya sentiasa berkata saya akan berada di sini sehingga kelab memberitahu saya bahawa sudah tiba masanya untuk pergi.
“Saya ingin melakukan lebih banyak lagi, untuk dapat membawa kelab ke zaman kegemilangan. Hari apabila kelab berfikir bahawa saya terlalu berlebihan atau sudah tiba masanya untuk berpisah, bola sepak adalah seperti ini, anda tidak pernah tahu. Tetapi saya sentiasa mengatakannya dan berpegang pada kata-kata saya dengan cara yang sama.”