Perkeso selamat dana RM48.64 juta

Perkeso selamat dana RM48.64 juta

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya mengekang jenayah penipuan faedah dan menyelamatkan dana keselamatan sosial dalam jangka panjang, mencecah lebih RM48.64 juta.

Ia meliputi pelbagai skim termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Skim Keilatan serta Program Saringan Kesihatan (HSP).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, berdasarkan perangkaan dari 2020 hingga April tahun ini, sebanyak 679 kes disyaki membabitkan unsur penipuan disiasat secara aktif, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Perkeso ke arah aspek ketelusan dan keadilan dalam pengagihan manfaat kepada pencarum yang layak.

“Kejayaan ini dicapai hasil siasatan sehingga membawa kepada keputusan menggantung 383 kes atau 56.5 peratus daripada keseluruhan yang disiasat, sekali gus mencerminkan bahawa tadbir urus dan tata kelola yang tegas mampu memberi impak besar terhadap kecekapan sistem,” katanya dalam kenyataan selepas menyampaikan ucaptama perasmian Seminar on Fraud, Evasion and Error in Social Security and Insurance Claims anjuran Perkeso dengan kerjasama Pemeriksa Perubatan Bebas Lembaga Amerika (ABIME) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Presiden merangkap Pengasas ABIME, Prof Dr Mohammed Ranavaya.

Seminar dihadiri lebih 400 peserta ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk barisan panel Lembaga Perubatan, ahli Lembaga Jemaah Rayuan, wakil agensi penguat kuasa dan syarikat insurans.

Penganjuran ini dilihat signifikan dalam mendepani cabaran penipuan tuntutan, kelemahan sistem dan amalan tidak beretika yang mengancam kelangsungan sistem perlindungan sosial.

Mengulas lanjut, Sim berkata, penipuan faedah bagaimanapun kekal menjadi cabaran apabila kerugian mencecah RM2.1 juta masih direkodkan sepanjang tahun lalu yang berpunca daripada tuntutan tidak sah.

“Dalam usaha berterusan mengekang ketirisan dana, Perkeso juga menyemak semula Elaun Layanan Sentiasa (ELS) bagi memastikan kelayakan penerima disahkan secara berterusan.

“Sepanjang tempoh dari 2020 hingga April lalu, sebanyak 509 kes ELS disemak, dengan 117 kes atau 22.9 peratus dicadangkan digantung, sekali gus menyaksikan penyelamatan dana keselamatan sosial untuk jangka panjang menjangkau lebih RM12.2 juta,” katanya.

Katanya, pihaknya menegaskan bahawa jenayah penipuan adalah pelanggaran perundangan sehingga berupaya menghakis kepercayaan awam terhadap institusi yang ditubuhkan demi menjaga kebajikan pekerja memandangkan sumber dana diseleweng daripada golongan memerlukan.

“Cabaran penipuan kini bersifat global, didorong oleh mobiliti buruh dan perkhidmatan rentas sempadan, justeru Malaysia perlu mengamalkan rangka kerja pencegahan menyeluruh meliputi pembaharuan undang-undang, penguatkuasaan tegas, inovasi digital dan komunikasi secara telus.

“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) komited sepenuhnya dalam menerajui pembaharuan sistem sosial negara dengan melibatkan seluruh ekosistem berkaitan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top