am@hmetro.com.my
Melaka: “Arwah seorang yang ceria dan suka membantu orang. Bukan saya buat-buat cerita selepas kematiannya, tapi itulah peribadi sebenar arwah… tanyalah orang kampung”.
Itu kata suri rumah, Qila, 34, rakan baik wanita, Iecah Junus, 34, yang disyaki maut dikelar suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, Tangkak, Isnin lalu.
Menurutnya, mereka berkenalan sejak di Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sri Lanang, Felda Sri Jaya,
Katanya, kali terakhir mereka berjumpa semasa arwah yang mesra disapa ‘Ecah’ membuat kenduri awal tahun ini sebelum puasa dan selepas itu hanya berhubung melalui media sosial dan WhatsApp.
“Saya dapat tahu kejadian menimpanya semalam dan amat terkejut dan tidak percaya pada mulanya.
“Memang niat saya nak jumpa arwah namun tidak berkesempatan kerana ada kekangan.
“Bila berjumpa dalam keadaan begini (meninggal dunia), hati ini amat pedih mengenangkan peribadi arwah yang baik dan tidak berkira dalam membantu orang yang memerlukan,” katanya ditemui di pekarangan Jabatan Perubahan Forensik, Hospital Melaka, hari ini.
Qila hadir bersama waris arwah termasuk abang sulung mangsa bagi menunggu proses bedah siasat mayat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Sementara itu Qila berkata, rakannya itu mendirikan rumah tangga pada 2023 namun kehilangan anak pada Februari tahun lalu yang dilahirkan tidak cukup bulan.
“Arwah dah jumpa anaknya di syurga ” katanya sebak.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang Isnin dan suspek dikatakan menyimpan mayat isterinya di rumah dengan ditutup menggunakan selimut.
Lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai turut cuba membakar rumah ibu mentuanya di Kebun Baru, Durian Chondong, di sini, pagi semalam yang terletak kira-kira 40 kilometer dari kediamannya.
Suspek kini direman tujuh hari sehingga 10 Jun depan bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




