Fokus kepercayaan digital dan AI

Fokus kepercayaan digital dan AI

rencana@hmetro.com.my

Kajian global menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap perkhidmatan digital adalah penting bagi pengguna.

Dalam menangani perkara ini secara proaktif, pemimpin dan pakar daripada pelbagai industri menghadiri forum Trust Circle CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) edisi ketiga itu.

Tujuan forum untuk memupuk perbincangan yang lebih mendalam mengenai advokasi amalan data bertanggungjawab merentas organisasi dan industri dalam usaha kolektif melindungi masa hadapan digital dalam dunia yang semakin dipacu AI.

Penganjuran forum berlangsung pada waktu yang tepat ketika perniagaan dan institusi di negara ini menghadapi perubahan besar menerusi Akta Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 dan mengamalkan tadbir urus data yang kukuh.

Forum itu turut menampilkan barisan panel pakar membabitkan Pengarah Dasar Siber dan Teknologi, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Farlina Said, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) Shamsul Izhan Abdul Majid dan serta rakan strategik yang lain.

Ketua Pegawai Korporat CelcomDigi, Joachim Rajaram berkata, melalui forum ‘Trust Circle’ ini, wujud satu ekosistem kukuh yang terdiri daripada pakar pelbagai sektor.

“Fokus kami sekarang untuk menangani cabaran kepercayaan terhadap teknologi baharu yang pesat berkembang.

“Daripada aspek membentuk dasar sehingga mengintegrasikan penggunaan AI yang beretika, setiap pemain dalam ekosistem ini mempunyai peranan penting masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan dalam sudut pengawalseliaan menjadi peluang yang lestari dalam melindungi hak pengguna, membolehkan inovasi dan memastikan masa hadapan digital yang dipercayai bagi seluruh rakyat Malaysia.

Pada masa sama, forum Trust Circle CelcomDigi ini menghimpunkan satu ekosistem pakar daripada sektor awam dan swasta, serta menekankan komitmen syarikat dalam membina masa hadapan digital yang teguh.

CelcomDigi mengambil langkah untuk menilai kesedaran awam mengenai privasi data dan melancarkan Kaji Selidik Kesedaran Privasi Kebangsaan 2025 yang komprehensif untuk menilai pemahaman rakyat Malaysia tentang aspek asas privasi, hak privasi, dan cara mengendalikan data peribadi.

Data dan maklum balas yang diperoleh daripada kajian itu akan membantu pembuat dasar, pengawal selia, perniagaan dan pembela pengguna mengenal pasti jurang dalam kesedaran, mewujudkan kempen Pendidikan serta memperkukuhkan amalan perlindungan data.

Rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas digalakkan untuk menyertai kaji selidik itu untuk menilai pengetahuan mengenai privasi data.

Kaji selidik Kesedaran Privasi Kebangsaan CelcomDigi 2025 akan ditutup pada 30 Jun 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top