Program LGBT: Dua individu dirakam keterangan bantu siasatan

Program LGBT: Dua individu dirakam keterangan bantu siasatan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis merakam percakapan dua individu daripada sebuah parti politik petang tadi, bagi membantu siasatan kes berkaitan penganjuran program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan ringkas, hari ini.

“Adalah dengan ini disahkan bahawa seramai dua saksi dari Pemuda Sosialis PSM telah dirakam percakapan petang tadi bagi membantu siasatan kes berkaitan posting penganjuran perhimpunan Pride Care LGBT.

“Perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, beliau memaklumkan sebanyak 188 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara berhubung isu itu yang tular sejak minggu lalu.

Katanya, penganjur program berkenaan akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan dibuka selepas satu hantaran media sosial dikesan mengenai perancangan program berkaitan LGBT yang dipercayai akan diadakan pada 21 Jun ini di Petaling Jaya.

Program itu disifatkan mencetus sensitiviti masyarakat serta bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top