surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bekas kakitangan stesen televisyen berbayar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 30 pertuduhan mengubahsuai sistem pangkalan data syarikat itu daripada 743 akaun regular kepada korporat.
Bagaimanapun, Nora Idayu Jaafar, 48, yang tidak mengaku bersalah tiba-tiba rebah dan pengsan di dalam kandang tertuduh semasa pertuduhan ke-30 dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.
Difahamkan, wanita itu berdepan 743 pertuduhan.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun ini untuk sambung prosiding bagi meneruskan baki 713 pertuduhan lagi dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, Norma memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran.
Mengikut 30 pertuduhan, wanita itu sebagai pekerja Unit Sokongan Komersial didakwa membuat pengubahsuaian data iaitu menukarkan 30 akaun pelanggan regular kepada akaun korporat yang mana tertuduh tahu bahawa perbuatan itu akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan data tanpa kuasa di dalam sistem itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tun Razak di sini mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




