898 ejen, pemegang dibatal dan digantung lesen import

898 ejen, pemegang dibatal dan digantung lesen import

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 898 ejen dan pemegang lesen import dibatalkan lesen oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan dari 2023 sehingga Mei lalu.

Pemangku Ketua Pengarah JKDM, Norlela Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 758 syarikat yang digantung dan dibatalkan lesen berkenaan dikenakan tindakan pada tahun ini.

“Baki 106 syarikat lagi dikenakan tindakan pada 2023, manakala 34 syarikat pada tahun lalu.

“Peningkatan signifikan pada tahun ini adalah hasil inisiatif pemutihan JKDM yang dilaksanakan Unit Kawalan Ejen Kastam di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi lesen import rokok, tembakau dan minuman keras (RMK), Norlela berkata, JKDM mengambil tindakan membatal atau menggantung sebanyak 21 lesen import atas sebab ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan dalam perundangan kastam.

Katanya, ia membabitkan tiga lesen pada 2023 dan masing-masing sembilan lesen pada tahun lalu dan dari Januari hingga Mei lalu.

“JKDM mengambil tindakan penguatkuasaan tegas termasuk pembatalan lesen bagi memastikan hak pemegang lesen yang sah tidak terjejas.

“Kita akan terus bekerjasama dengan agensi lain dalam usaha berterusan untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan, memastikan penguatkuasaan adil dan berkesan serta menjamin kesinambungan perdagangan.

“Berikutan itu, JKDM menyambut baik dan menghargai saranan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam memperkukuh tadbir urus jabatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top