Kemalangan korban 3 penuntut IKBN Jitra: Pemandu MPV ditahan

Kemalangan korban 3 penuntut IKBN Jitra: Pemandu MPV ditahan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Polis menahan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabit kemalangan mengorbankan tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan Alor Setar menghala ke selatan, hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 2.10 petang, dengan siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan MPV jenis Naza Citra dan dua motosikal Yamaha 135LC dan Yamaha Y16zr.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika Naza Citra sedang berhenti di laluan kecemasan.

Penunggang motosikal Yamaha 135LC hilang kawalan dan kemudian melanggar belakang Naza Citra terbabit, sebelum sebuah lagi motosikal gagal mengelak dan melanggarnya.

“Akibat pelanggaran itu dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi pembonceng cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Nor Salawati berkata, pemandu dan ketiga-tiga penumpang MPV tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh tampil di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 04-7321222 atau 013-9964614 bagi membantu siasatan.

Tragedi pulang beraya, 3 penuntut IKBN Jitra maut kemalangan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top