am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Orang ramai terutama di Permatang Pauh berpeluang melakukan ibadah korban apabila Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) menjual 100 ekor lembu pada harga murah sempena Aidiladha ini.
Ini berikutan setiap lembu dijual pada harga RM2,800 seekor berbanding harga pasaran atau RM399 untuk satu bahagian.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, inisiatif itu bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam dapat melaksanakan ibadah korban.
“Bila ada pendekatan seperti ini, ia tentu akan permudahkan program ibadah korban untuk disertai oleh seramai mungkin umat Islam.
“Contohnya, (wakil) Masjid Kubang Ulu, Permatang Pauh, beli 17 ekor yang kebiasaannya RM95,000, tetapi kali ini harganya hanya RM47,000.
“Bantuan ini berbeza berbanding penyerahan daging korban oleh wakil rakyat seperti kebiasaan apabila haiwan ini dijual kira-kira separuh harga pasaran kepada penganjur korban,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Agihan Perdana 100 ekor lembu Korban Termurah Parlimen Permatang Pauh di Taman Arowana, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, lembu berkenaan diperoleh secara pukal daripada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Johor dan Johor Plantations Group Berhad.
“Lembu-lembu ini akan dijual kepada wakil masjid, surau, pusat tahfiz, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan membabitkan 40 kawasan di parlimen ini bagi melaksanakan ibadah korban.
“Program ini bermula di Permatang Pauh pada tahun ini dan berharap ia akan diperluaskan ke seluruh negara pada tahun hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd