Perth: Australia semakin hampir untuk layak ke Piala Dunia selepas menewaskan Jepun yang sudah pun layak, 1-0 di Perth, hari ini hasil jaringan kemenangan Aziz Behich pada minit ke-90.
Di hadapan 57,226 penonton yang memenuhi Stadium Optus, Socceroos dilihat kurang menyerlah untuk tempoh yang lama menentang skuad kurang berpengalaman Jepun.
Namun segalanya berubah apabila Riley McGree membuat hantaran ke belakang kepada pemain pertahanan, Behich, yang melepaskan rembatan kencang ke penjuru gawang, jaringan antarabangsa pertamanya dalam tempoh 13 tahun, sekali gus mencetuskan suasana luar biasa.
Kemenangan ke atas Jepun buat kali pertama sejak 2009 itu meletakkan Australia hampir pasti mengesahkan tempat ke Piala Dunia tahun hadapan di Amerika Utara.
Sebelum perlawanan, Socceroos memiliki kelebihan tiga mata dan perbezaan jaringan yang jauh lebih baik berbanding Arab Saudi, dengan berbaki dua perlawanan.
Namun kemenangan terbaru itu masih belum menjamin sepenuhnya laluan automatik Australia, kerana Arab Saudi dijadual bakal menentang Bahrain selepas ini.
Australia akan bertemu Arab Saudi di Jeddah pada 10 Jun dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, bagi perebutan tempat kedua di belakang Jepun.
Dua pasukan teratas dalam kumpulan yang terdiri daripada enam pasukan akan layak secara automatik ke Piala Dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd