Isteri Tun Daim akan cabar tindakan SPRM sita Menara Ilham

Isteri Tun Daim akan cabar tindakan SPRM sita Menara Ilham

fuadnizam@nst.com.my

Kuala Lumpur: Toh Puan Na’imah Abdul Khalid akan mencabar tindakan sitaan kedua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menara Ilham di mahkamah.

Dalam satu kenyataan, peguamnya Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal menyifatkan tindakan berulang itu sebagai ‘gangguan semata’ dan menuduh SPRM bertindak di luar batas undang-undang.

“Ini adalah tindakan paling tidak masuk akal yang pernah diambil oleh SPRM. Bangunan yang sama telah pun disita, namun ia kini disita semula. Adakah SPRM bermain ‘musical chairs’ dengan undang-undang?” menurut kenyataan itu yang dilapor NST.

Peguam Na’imah juga mengecam pihak berkuasa kerana didakwa menyasarkan arwah suaminya, bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, walaupun tiada pertuduhan rasuah difailkan terhadapnya.

“Perlu ditegaskan sekali lagi walaupun Perdana Menteri dan Ketua (Pesuruhjaya) SPRM telah berulang kali membuat dakwaan serta sindiran terhadap Daim, tiada sebarang pertuduhan rasuah telah dikenakan terhadapnya.

“Kini, setelah gagal membawa sebarang pertuduhan, mereka mengganggu anak guam kami dengan rampasan kedua,” kata mereka.

Menurutnya lagi, langkah itu tanpa sebarang bukti salah laku, adalah melanggar kedaulatan undang-undang dan merupakan suatu bentuk penganiayaan.

SPRM terdahulu dilapor diberi kuasa untuk menyita semula Menara Ilham, sebuah bangunan milik keluarga Daim, berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) yang bertarikh semalam.

Menara Ilham terletak di pusat bandar Kuala Lumpur berhampiran Menara Berkembar Petronas dan menempatkan hotel empat bintang, ruang pejabat, galeri dan kemudahan lain.

Pada Disember 2023, bangunan itu pernah disita di bawah Akta SPRM 2009, dengan sumber dipetik berkata sitaan mengambil masa selama 18 bulan, tempoh paling lama diperoleh SPRM.

Difahamkan ketika itu, sitaan dibuat bagi siasatan lanjut mengenai transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top