Varian India COVID-19 dikesan di Vietnam

Varian India COVID-19 dikesan di Vietnam

HANOI: Vietnam mengesan empat kes COVID-19 varian baharu, dipercayai menyebabkan lonjakan kes di India, kata media tempatan semalam.

Negara itu juga melaporkan wabak komuniti pertama dalam beberapa minggu.

Sehingga kini Vietnam berjaya mengekalkan kes rendah dengan 2,910 kes jangkitan dan 35 kes kematian hasil kuarantin secara besar-besaran dan pengesanan kontak yang luas.

Kesemua empat kes dengan varian B.1.617 yang dikesan di India sebelum ini melakukan perjalanan dari negara Asia Selatan sebelum dikuarantin sebaik ketibaan mereka di Vietnam.

“Hasil penjujukan genetik empat daripada lima pesakit COVID-19 yang tiba dari India menunjukkan bahawa pesakit dijangkiti virus berasal dari India,” kata akhbar Lao Dong semalam.

Keputusan ujian ke atas individu kelima akan diketahui hari ini.

Varian itu ditemui apabila lebih 1,000 penduduk di sebuah kampung di wilayah Ha Nam, Hanoi, diarah kuarantin semalam.

Seorang lelaki yang pulang dari Jepun menunjukkan positif COVID-19 minggu ini selepas 14 hari dikuarantin dan menularkan virus itu kepada keluarganya, menurut kementerian kesihatan.

Seramai enam orang di kawasan itu, termasuk lelaki yang kembali dari Jepun, disahkan positif, kata kementerian itu.

Laporan media mengatakan jangkitan juga dijumpai di Hanoi, Bandar Ho Chi Minh dan wilayah Hung Yen utara.

Wabak komuniti terakhir, yang berpusat di sekitar bandar utara Hai Duong, berjaya dibendung bulan lalu.

Vietnam kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan wabak tercetus di beberapa kawasan di Asia Tenggara termasuk Kemboja dan Laos, yang kedua-duanya mempunyai sempadan dengan Vietnam.

Vietnam hari ini memulakan cuti umum empat hari dan dijangkakan lokasi percutian penuh sesak. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top