am@hmetro.com.my
Segamat: Ibu dan anak lelakinya maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 148 Jalan Johor Bahru-Seremban dekat Chaah, hari ini.
Kemalangan berlaku pada 11.30 pagi menyebabkan dua beranak berusia 30-an dan 70-an itu meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila Perodua Viva dinaiki dua mangsa dari Labis ke Chaah, dirempuh pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 70–an dari arah belakang.
Katanya, ia menyebabkan kereta itu terbabas ke laluan bertentangan dan dalam masa sama lori dipandu lelaki berusia 40-an dari arah bertentangan tidak sempat mengelak, lalu merempuh kereta mangsa.
“Pemandu dan penumpang kereta cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan, sementara pemandu pacuan empat roda dan lori tidak cedera,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kemalangan diminta menghubungi balai polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811.
© New Straits Times Press (M) Bhd




