am@hmetro.com.my
Butterworth: Seorang duda anak dua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdayakan bekas teman wanitanya berhubung satu video konon dirinya diculik dan memiliki peluru tanpa lesen minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Zulkifli Azizan, 27, memohon kesnya dibicarakan selepas dua kertas pertuduhan itu dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Zulkifli didakwa memperdayakan bekas teman wanitanya berusia 21 tahun supaya percaya dirinya diculik berdasarkan satu hantaran video, namun ia hanya rekaan semata-mata.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Labuh Banting, Guar Perahu, di Bukit Mertajam, dekat sini, 10.30 malam, pada 28 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki sembilan butir peluru jenis SME 5.56mm blank buatan Malaysia tanpa lesen di sebuah kediaman di Bertam Perdana, Kepala Batas, 6.20 petang, pada 2 Jun lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd