Tukang sembelih: Wira makanan halal

Tukang sembelih: Wira makanan halal

DI SEBALIK sedapnya rasa setiap ayam dan daging yang kita nikmati, tentunya ada tangan-tangan yang bekerja penuh teliti, hati bersih dan niat tulus ikhlas.

Salah seorang daripada mereka sudah tentulah ada tukang sembelih yang merupakan wira senyap dalam rantaian makanan halal khususnya buat umat Islam.

Mungkin kita jarang melihat wajahnya dan mungkin kita langsung tidak mengenalinya dengan lebih dekat.

Namun tanpanya, tiadalah ayam panggang di meja makan, tiadalah daging korban pada Aidiladha dan tiadalah jaminan halal dalam setiap suapan.

Tukang sembelih bukan semata-mata memegang sebilah pisau yang tajam dan menghiris leher haiwan, bahkan dia memikul tanggungjawab yang besar iaitu memastikan haiwan disembelih mengikut syariat tanpa menzalimi haiwan berkenaan.

Bukan itu sahaja, kemahirannya juga bukan sahaja ketika pisau diletakkan di leher haiwan, malah pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi sebelum, semasa dan selepas sembelihan.

Sinar Islam Plus menemui Presiden Persatuan Penyembelihan Syar’ie Malaysia (PPSM), Ustaz Abd Halim Zakaria bagi mengulas mengenai amanah yang besar di sebalik tajamnya pisau itu.

USTAZ ABD HALIM

USTAZ ABD HALIM

Sihat tubuh badan, alatan lengkap

Beliau yang sudah berkecimpung dalam bidang sembelihan lebih 50 tahun dan mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sejak 2007 itu menjelaskan, perkara paling penting sebelum menyembelih haiwan adalah penyembelih perlu sihat sepenuhnya.

“Diri sendiri perlu sihat, cergas dan bebas daripada sakit seperti demam. Ini kerana proses sembelihan melibatkan tenaga terutamanya tenaga dalaman.

“Kalau kita dalam keadaan sakit dan tidak bertenaga, bagaimana kita nak memegang haiwan? Boleh jadi ia mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada haiwan berkenaan dan orang sekeliling,” katanya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai tukang sembelihan selama 15 tahun di Kemboja berkata, selain itu, peralatan turut memainkan peranan penting dalam usaha menjayakan proses penyembelihan haiwan.

“Peralatan seperti pisau pelbagai jenis, tali yang sesuai, pasak besi, pakaian lengkap berkasut, apron, sabun dan sebagainya amat penting sebelum proses sembelihan dilakukan agar aspek keselamatan dijaga dengan baik.

“Dari satu segi, tukang sembelih juga perlu melatih diri dengan tenaga dalaman melalui teknik pernafasan yang betul. Ini kerana haiwan ini mempunyai tenaga yang kuat, bahkan lagi kuat daripada manusia,” hurainya.

PESERTA kursus turut melakukan praktikal sembelihan ayam dipantau Ustaz Abd Halim (kanan).

PESERTA kursus turut melakukan praktikal sembelihan ayam dipantau Ustaz Abd Halim (kanan).

Selain itu ujar Ustaz Abd Halim, keikhlasan hati dan keyakinan tukang sembelih juga diambil kira dalam menjayakannya.

“Apabila ikhlas, ALLAH akan memudahkan perjalanan kita semasa mengendalikan haiwan.

“Satu lagi elemen penting yang perlu ada bagi tukang sembelih adalah menguasai ilmu sembelihan yang mengikut panduan syarak dan mengelakkan petua atau tip yang menyalahi ajaran Islam,” ujarnya.

Antara asas yang sepatutnya dikuasai tukang sembelih ialah ilmu sembelihan mengikut syarak, kaedah sembelihan mengikut sains dan kaedah tradisional yang diamalkan masyarakat namun tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Selain itu katanya, tukang sembelih juga perlu mahir dalam menggunakan pisau memandangkan setiap pisau mempunyai peranannya masing-masing seperti pisau untuk kegunaan menyembelih, melapah, memotong tulang, memotong tali dan sebagainya.

Ihsan terhadap haiwan

Ketika bercerita mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakannya, beliau berkata, adakalanya dia menitiskan air mata jika tukang sembelih tidak mengikuti SOP atau kaedah syarak termasuk dalam bab ihsan terhadap haiwan.

“Antara pengalaman yang saya lihat sendiri, orang ramai mengikat keempat-empat kaki lembu sebelum disembelih.

“Kemudian mereka meletakkan kayu dan dipijaknya pula haiwan itu. Itu semua akan menyakitkan haiwan itu, sedangkan kita sembelihnya untuk dimakan, tapi kita pula pijaknya dan berbuat zalim, padahal kalau diikutkan SOP yang betul mengikut syarak, haiwan tersebut boleh disembelih dengan tenang dan mudah,” hurainya.

Jelasnya lagi, antara sikap ihsan yang perlu ditekankan sebelum bermulanya proses penyembelihan ialah haiwan peliharaan perlu direhatkan selama 12 jam terlebih dahulu sebelum disembelih untuk mengurangkan ia berada dalam keadaan tertekan.

“Ia amat penting kerana haiwan dalam keadaan stres boleh menyebabkan dagingnya menjadi kurang berkualiti selain berbau hamis.

USTAZ ABD HALIM memantau praktikal sembelihan yang dilakukan peserta.

USTAZ ABD HALIM memantau praktikal sembelihan yang dilakukan peserta.

“Oleh sebab itu tukang sembelih perlu mempelajari teori dan sains dalam sembelihan selain praktikalnya,” ujarnya.

Selain itu ujarnya, teknik mengikat tali di kepala, badan dan kaki lembu juga perlu dititikberatkan serta merehatkan haiwan terlebih dahulu seketika selepas direbahkan sebelum ia disembelih.

Katanya, dalam usaha menyebarluaskan sembelihan yang patuh syariat, beliau kemudian memperbanyakkan kursus sembelihan melalui persatuannya ke seluruh negara.

Pihaknya berharap dengan ramainya penyertaan terutamanya daripada golongan anak muda dapat melahirkan lebih ramai tukang sembelih yang mematuhi syarak pada masa akan datang.

Scroll to Top