London: Ekaterina Guliyev kehilangan pingat perak acara 800 meter yang dimenanginya untuk Rusia pada Sukan Olimpik 2012 selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuannya terhadap penggantungan selama empat tahun kerana kesalahan doping, menurut Unit Integriti Olahraga (AIU), hari ini.
Ekaterina yang bertanding untuk Rusia sebelum menukar kerakyatan kepada Turki, digantung selama dua tahun pada April 2024 berkuat kuasa sejak Mac 2023 kerana penggunaan bahan terlarang, dengan AIU membatalkan semua keputusannya dari 17 Julai 2012 hingga 20 Oktober 2014.
Sukan Olimpik 2012 berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos. Ketika itu, Ekaterina bertanding dengan nama Ekaterina Poistogova dan menamatkan perlumbaan akhir 800 meter di tempat ketiga.
Namun, dia kemudiannya dinaikkan ke pingat perak apabila pemenang asal dari Rusia, Mariya Savinova, didapati bersalah atas kesalahan doping.
Kini, Ekaterina sendiri turut digantung kerana doping.
“Dalam membuat keputusannya, CAS mengekalkan keputusan untuk membatalkan keputusan atlet berusia 34 tahun itu dari 17 Julai 2012 hingga 20 Oktober 2014, mengesahkan kehilangan pingat perak Olimpik yang dianugerahkan semula kepadanya,” menurut kenyataan AIU.
“Jabatan pertandingan Olahraga Dunia kini akan membatalkan keputusan-keputusannya dan kemudian memaklumkan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
IOC kemudiannya boleh meneruskan proses penyerahan semula pingat Olimpik, dengan atlet Kenya Pamela Jelimo dijangka menerima pingat perak, manakala atlet Amerika Syarikat Alysia Montano akan dinaikkan ke kedudukan pingat gangsa.
Acara jarak sederhana wanita di Sukan Olimpik London tercemar dengan isu doping, di mana dua lagi pelari dalam perlumbaan akhir 800 meter, Savinova dan Elena Arzhakova dari Rusia turut dibatalkan keputusan mereka kerana kesalahan yang sama.
Ekaterina antara ratusan atlet yang dikenakan tindakan susulan siasatan ‘Operation LIMS’ terhadap makmal anti-doping Moscow, yang mendedahkan kewujudan sistem doping yang berleluasa dan terancang.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd