am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Rayuan menetapkan 10 Jun untuk perbicaraan ad interim (perintah sementara ad hoc) permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menangguhkan prosiding berhubung saman serangan seksual yang difailkan terhadapnya pada 2021 oleh bekas pegawai penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.
Peguam Datuk Seri Rajasegaran Krishnan yang mewakili Anwar berkata, tarikh itu ditetapkan petang ini semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Ahmad Izuddin Fajri Fakrullah.
“Perbicaraan penuh untuk permohonan penangguhan itu adalah pada 21 Julai,” katanya kepada *New Straits Times* hari ini.
Perbicaraan *ad interim* itu diperoleh sebelum perbicaraan saman sivil yang akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, pada 16 Jun.
Untuk rekod, saman itu difailkan sebelum pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Sementara itu, Rajasegaran berkata, mahkamah turut menetapkan 2 September untuk pengurusan kes bagi rayuan terhadap keputusan Roz Mawar yang menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan soalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh Yusoff.
Roz Mawar dalam keputusannya memutuskan bahawa permohonan Anwar bagi lapan persoalan perlembagaan adalah spekulatif dan tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.
Anwar sebelum ini telah memohon mahkamah tertinggi untuk memutuskan sama ada Perkara 5, 8, 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikannya imuniti daripada saman Yusoff.
Anwar telah meminta mahkamah memutuskan sama ada saman Yusoff akan menjejaskan pelaksanaan tugas eksekutifnya secara berkesan dan menjejaskan pengasingan kuasa mengikut Perlembagaan.
Anwar juga telah meminta mahkamah untuk mempertimbangkan sama ada tuntutan mahkamah itu memberi kesan kepada keupayaannya untuk menjalankan tugas eksekutif dan menjejaskan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd