Kuala Lumpur: Penyanyi, Hael Husaini bakal muncul sebagai salah seorang artis jemputan istimewa dalam Konsert Here I Am oleh penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini.
Kemunculan Hael dalam konsert berskala besar itu dianggap cukup istimewa apabila Rossa sendiri menyatakan rasa kagum terhadap bakat dan penghayatan luar biasa dimiliki penyanyi lagu Jampi itu.
“Saya sangat menghormati dan mengagumi bakat luar biasa Hael yang memberikan ‘jiwa’ dalam setiap lagu yang disampaikannya.
“Setiap bait yang dinyanyikan Hael punya ‘rasa’ dan itu perkara utama yang saya cari dalam kolaborasi.
“Saya sudah tidak sabar membawakan sesuatu yang benar-benar eksklusif bersama Hael khusus buat penonton di Malaysia,” kata Rossa.
Konsert yang turut menampilkan beberapa nama besar lain seperti Ariel Noah, Ernie Zakri, MK K-Clique serta The Ladies yang dibarisi alumni Indonesian Idol iaitu Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla itu dijangka menjadi malam penuh magis buat peminat muzik tanah air.
Mengangkat Malaysia sebagai negara kedua selepas kejayaan di Indonesia Arena, Jakarta baru-baru ini yang mencatat kehadiran lebih 12,000 penonton, Rossa menyifatkan konsert di Kuala Lumpur sebagai penghormatan buat peminat yang menyokong perjalanan seninya hampir tiga dekad.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hidup dan kerjaya saya. Di negara ini, kerjaya nyanyian saya mekar dan berkembang sehingga nama Rossa dikenali pencinta muzik serantau.
“Here I Am bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya ia juga hadiah dan perayaan cinta saya kepada peminat di negara ini,” katanya.
Selain menampilkan barisan rakan seni terdekat, konsert turut memberi ruang kepada bakat baharu seperti empat finalis Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen yang bakal tampil dalam segmen istimewa.
Konsert Here I Am dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran daripada Sah Entertainment.
© New Straits Times Press (M) Bhd