Ibu, adik ibu ditahan bantu siasatan kes anak jatuh dari tingkat 30 pangsapuri

Ibu, adik ibu ditahan bantu siasatan kes anak jatuh dari tingkat 30 pangsapuri

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, turut ditahan adik lelaki wanita berkenaan dan kedua-dua mereka direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian kanak-kanak itu akibat kecederaan pelbagai akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Kedua-dua mereka warga Indonesia berusia 27 dan 25 tahun. Punca kejadian dan bagaimana kanak-kanak itu terjatuh masih dalam siasatan lanjut polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak Kanak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1 Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa terjatuh dari balkoni kediaman bertingkat itu.

Aidil dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam pada 11.17 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top