khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 220 petugas dan sukarelawan yang terbabit dalam ibadah korban Aidiladha di Masjid Jamek Kampong Bharu di sini, esok diwajibkan mengikuti kursus selama satu hari.
Imam Masjid Jamek Kampong Bharu, Mohamad Syamim Mohd Hussin berkata, tujuan pihaknya mengadakan kursus itu bertujuan menambah kefahaman berhubung ibadah berkenaan dan melakukannya dengan cara berilmu.
“Ilmu itu banyak antaranya berkaitan ihsan dengan haiwan, tentang hak milik dan ilmu halal haram. Bila melibatkan daging (korban), petugas perlu faham kaedah perlu dilakukan.
“Sebelum ini, kita buka peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu jadi sukarelawan. Namun timbul masalah bila ada yang kurang ilmu berhubung ibadah ini. Macam macam hal berlaku,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, tadi.
Sebanyak 18 ekor lembu akan dikorbankan di Masjid Jamek Kampong Bharu sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
“15 ekor lembu adalah melalui penyertaan peserta korban manakala bakinya disumbangkan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP).
“Selain daripada lembu, lima ekor kambing juga akan dikorbankan dan penyembelihan ini akan bermula pada jam 9 pagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Syamim berkata, selepas tiga tahun kursus seumpama itu dilakukan, pihaknya melihat prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan korban semakin baik.
“Contohnya dari segi nak jatuhkan lembu. Kalau dahulu (lembu itu) terjun daripada lori…jadi kalau terjun kemungkinan ada luka pada kaki haiwan itu.
“Bila adanya kursus pertama ini, digalakkan untuk buat platform (untuk lembu itu turun), jadi tahun kedua sudah tiada ada isu (lembu cedera) dan lembu itu turun dengan elok.
“Kemudian isu di bahagian timbang daging korban turut diatasi apabila tiada lagi isu kecurian,” katanya.
Sementara itu Bilal Masjid Jamek Kampong Bharu, Muhd Izwan Muhammad memaklumkan, antara penambahbaikan lain dilaksanakan adalah penambahan petugas di bahagian melapah daging membabitkan seramai 40 orang.
“Pendekatan ini diambil supaya tugasan dilakukan secara lebih sistematik dan lancar. Bahagian melapah ini merupakan bahagian yang paling kritikal dan memerlukan banyak kerja khusus,” katanya.
Beliau juga menyasarkan pengagihan daging korban ini dapat dilaksanakan selepas solat Zohor.
© New Straits Times Press (M) Bhd