Istimewanya masakan 'lembu naik bukit'

Istimewanya masakan 'lembu naik bukit'

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kampot (Kemboja): Jika di Malaysia lauk berasaskan daging menjadi hidangan harian di kebanyakan rumah, lain pula nasib saudara Islam di wilayah ini apabila ia hanya boleh dinikmati setahun sekali melalui sumbangan pihak luar.

Bagi masyarakat Islam di Kampung Keh, Kampot, peluang menjamah daging adalah satu nikmat besar yang tidak selalu dapat dikecapi memandangkan pendapatan mereka yang rendah dan harga daging yang terlalu mahal bagi golongan berpendapatan kecil.

Menyedari hakikat itu, Program Kembara Qurban Kemboja Bank Rakyat hadir tepat pada masanya apabila lebih 20,000 penduduk Islam setempat diraikan melalui agihan daging korban sempena Aidiladha kali ini.

Program yang dilaksanakan di Mahaad Imam Syafie, Kampung Keh itu menyaksikan sebanyak 46 ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada komuniti Islam di dua kawasan utama membabitkan Kampung Keh dan Kampung Trapeng Prinh.

Mudir Mahaad Imam Syafie, Zakaria Adam, berkata penduduk sudah mula berkumpul sejak awal pagi bagi sama-sama menyertai dan membantu dalam ibadah korban yang amat dinantikan saban tahun.

Menurutnya, ramai antara mereka sudah merancang untuk menyediakan hidangan tradisi yang cukup popular di sini, iaitu ‘lembu naik bukit’ atau dalam bahasa tempatan dikenali sebagai Kaw Leng Phnom.

“Hidangan ini seperti sup tetapi cara penyediaannya sangat unik. Ia dimasak perlahan menggunakan arang dan kayu api serta direneh bersama rempah ratus tempatan,” katanya ketika ditemui di lokasi program, di sini.

Beliau yang sudah lebih 12 tahun menetap dan berkhidmat di kampung berkenaan berkata, masyarakat Islam di Kemboja kebanyakannya hanya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM200 hingga RM500 sebulan.

Disebabkan itu, daging lembu dianggap makanan mewah dan hanya dihidangkan setahun sekali, bergantung kepada program sumbangan atau bantuan daripada pihak luar, terutamanya dari negara jiran seperti Malaysia.

“Kalau tiada bantuan luar, memang ada yang langsung tidak dapat merasa daging sepanjang tahun. Jadi bila tiba musim korban, semua sangat teruja dan bersyukur,” katanya.

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria, program berkenaan adalah antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan menyantuni golongan kurang bernasib baik di rantau ini.

“Program ini turut menjadi platform kepada pendeposit akaun simpanan-i Tabung Qurban Bank Rakyat untuk menunaikan ibadah korban mereka dengan penuh makna dan impak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan lagi program itu ke lebih banyak kawasan minoriti Islam di Kemboja pada masa hadapan, agar lebih ramai dapat menerima manfaat.

“Misi kali ini adalah manifestasi keprihatinan para pendeposit kami yang mahu melihat ibadah korban mereka sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top